KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari Menteri Besar Selangor menjamin air percuma mulai bulan ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak terma-terma dan syarat-syarat pembayaran yang dijanjikan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri berhubung pemberian 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, setelah menelitinya, Syabas tidak bersetuju dengan kandungan surat akujanji bersyarat KDEB itu yang ditandatangani pada 6 Jun lalu dan dihantar kepada Syabas dengan serahan tangan pagi ini.
Surat penolakan Syabas itu telah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut, kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.
Pejabat Menteri Besar Selangor ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan mStar Online bahawa Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan balas kemudian.
Pada 6 Jun lalu, kerajaan Selangor memberikan jaminan bahawa bekalan 20 meter padu air percuma kepada penduduk negeri itu berjalan seperti dirancang bermula bulan ini.
Khalid memaklumkan kerajaan Selangor telah mengarahkan semua bil bekalan air akan ditolak kira-kira RM11.40 iaitu nilai kadar 20 meter padu air seperti yang dijanjikan.
Jelas beliau, KDEB menyatakan satu surat telah dikeluarkan kepada Syabas pada 6 Jun bagi mengarahkan mereka melaksanakan pemotongan harga air itu.
“Pengguna tidak perlu ragu atau bimbang mereka tidak akan dapat air percuma kerana kerajaan jamin ia akan diberi,” kata beliau.
Bermula 1 Jun dimaklumkan seramai 1.5 juta pengguna individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya umum lepas.
Kenyataan Syabas hari ini merupakan reaksi kepada pengumuman Khalid pada 6 Jun lalu.
“Syabas tidak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bilbil air yang diberikan percuma kepada pengguna hanya akan dibuat oleh KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor oleh KDEB siap sepenuhnya September 2008.
“Cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas,” kata Ruslan lagi.
Jelas Ruslan, Syabas berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan Selangor itu tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di negeri itu.
“Oleh itu, cadangan balas Syabas ialah untuk mengebil kepada pihak KDEB setiap penghujung bulan dan pembayaran oleh KDEB kepada Syabas perlu diterima dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan tersebut,” katanya.
Kata Ruslan, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan menyebabkan Syabas terpaksa menghentikan program pemberian air percuma yang dirancang oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, Syabas akan meneruskan dengan pengeluaran bil-bil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga ia berpuas hati dengan akujanji yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor mahupun KDEB bagi pembayaran 20 meter padu air yang dijanjikan kerana Syabas tertakluk kepada perjanjian konsesi seperti yang ditandatangani dengan kerajaan negeri dan Pusat.
Article source:












