
ABDULLAH Ahmad Badawi bersenyum ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Barisan Nasional di Kuala Lumpur petang tadi.
KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), yang mengadakan mesyuarat tergempar kira-kira tiga jam petang tadi, memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan ‘disiplin’ ke atas Parti Maju Sabah (SAPP) sehingga ia menerima pendirian rasmi parti itu.
Malah, BN juga memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui - masing-masing Ahli Parlimen SAPP dari bahagian Sepanggar dan Tawau, sehingga mereka menyatakan pendirian masing-masing di Dewan Rakyat - sebagaimana diisytiharkan semalam - berhubung isu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat hari ini, BN mengutuk Yong dengan menyifatkan beliau sebagai ”tidak berprinsip, tidak beretika dan bertentangan dengan semangat BN.”
Mesyuarat tergempar diadakan kira-kira 24 jam selepas Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.
“Ini bukan pendirian parti… jelas ini kenyataan daripada Yong Teck Lee sendiri, sebab itu kita tidak mengambil tindakan terhadap parti berkenaann.
“Apa yang parti (SAPP) nak buat keputusan atas apa yang dilakukan Presiden (Yong), terpulanglah kepada parti berkenaan,” kata Abdullah pada sidang media.
Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, kenyataan semalam cuma dibuat di luar Dewan Rakyat.
“Jika dalam Dewan, kita ambil tindakan,” kata beliau sambil menambah, sebarang tindakan di Dewan Rakyat yang menyalahi disiplin parti boleh dikenakan tindakan sebagaimana pernah dikenakan ke atas wakil MIC dan Pulau Pinang dua tahun lalu.
Bagaimanapun BN tidak menetapkan sebarang masa kepada SAPP untuk membuat penjelasan.
SAPP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat esok dan dijangka menentukan keanggotaannya dalam BN.
Ketika ditanya sama ada takut untuk mengambil tindakan terhadap SAPP, Abdullah memberitahu: “Bukan soal takut tak takut, kita kena buat keputusan mestilah betul.”
Jelas beliau, tindakan tidak boleh diambil ke atas parti yang masih belum membuat keputusan tentang kenyataan tersebut.
“Jika ambil tindakan, maka itu (nampak) tergesa-gesa atau kita tak tahu atau ambil tahu apakah keputusan itu dilakuakn adalah parti atau ketuanya sehaja.
“Kita perlu betul dalam tindakan yang diambil terhap mana-mana institusi atau parti komponen,” katanya lagi.
Ditanya adakah surat tunjuk sebab akan dihantar kepada parti itu, Abdullah berkata: “Kita tidak meminta mereka untuk menunjukkan sebab kerana buat masa ini, mereka (SAPP) tidak melakukan kesalahan.”
Abdullah menyifatkan mesyuarat hari ini penting kerana ia melibatkan isu seorang ketua parti komponen BN.
Beliau berkata, parti-parti komponen telah menolak secara total kenyataan yang dibuat oleh Yong.
“Nyata sekali tiada seorang yang sokong dia dalam hal ini. Tiada siapa yang suka. Tiada siapa yang anggap itu (kenyataan Yong) baik dan tiada siapa yang anggap itu boleh diterima.
“Semuanya terkejut dan melahirkan rasa amat kesal kerana tindakan yang diambil itu menyalahi semangat permuafakatan BN dan ia tidak wajar dilakukan,” katanya.
Berhubung soalan jika SAPP yang bermesyuarat esok memutuskan untuk keluar, Abdullah berkata: “Jawab soalan spekulatif… kebiasaan saya biasa tak jawab, jangan cuba untuk tanya saya.”
Apabila ditanya sama ada perkembangan semasa ini satu halangan kepada kepimpinan beliau, Perdana Menteri memberitahu, selaku ahli politik yang telah lama berkhidmat ia bukan merupakan sesuatu baru.
“Saya pun ada kerja dan teruskan kerja saya dan tak ada masa untuk fikir (tentang) orang kritik dan marah.
“Apa lagi saya nak buat, benda ini akan berlaku… biasa (dalam) politik, tuduhan… yang penting jangan kerja saya terganggu.
“Banyak yang perlu diberi perhatian, yang penting mandat dan telah mencukupi untuk tubuh kerajaan dengan majoriti yang kuat.. tak perlu dipesongkan denga isu yang timbul dari semasa ke semasa.
Abdullah menambah, tidak ada sebarang amaran atau nasihat diberi kepada parti dan pemimpin komponen BN dalam mesyuarat hari ini kerana menurut beliau ”mereka cukup faham akan tugas dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan kepada BN oleh rakyat untuk mentadbir negara.”
Mesyuarat hari ini juga mengarahkan semua anggota Dewan Rakyat BN supaya menghadiri sepanjang sesi sidang, yang akan bermula Isnin ini dan pada masa yang sama menolak sebarang usul undi tidak percaya ke atas kepimpinan Abdullah.
Yong dan Pengerusi BN, Datuk Seri Musa Aman tidak hadir mesyuarat hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak juga tidak hadir.
Malah, Majlis Tertinggi BN juga mengecam tindakan Yong atas tindakan parti itu untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Wakil 13 daripada 14 parti komponen hadir kecuali SAPP yang tidak dijemput kerana mesyuarat hari ini membincangkan isu pihak berkenaan.












