KOTA KINABALU: Ketika tercetus drama politik di Sabah berikutan pengumuman Parti Maju Sabah (SAPP) bahawa mereka akan meneruskan langkah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperhebat kempen mempamer kekuatan.
Ia mendakwa 10 Ahli Parlimen Sarawak telah dibawa ke seberang laut dalam usaha menyekat mereka daripada meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mendakwa mereka telah dibawa ke Beijing.
Tidak semua 10 orang itu akan menyertai PKR, katanya kepada pemberita selepas merasmikan perayaan Kaamatan PKR di sini hari ini.
Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bila ditanya sama ada beberapa Ahli Parlimen di Sabah juga mempertimbang untuk menyertai mereka, berkata: “Ya, sudah tentu, adalah beberapa orang dari Sabah”.
Syed Husin berkata setakat ini SAPP tidak ada mengemukakan permohonan untuk menyertaI PKR tetapi jika parti itu berbuat demikian, ia akan diterima.
Di Miri, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Tun Openg hari ini menyifatkan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee sebagai koboi politik yang merosakkan imej ahli-ahli politik lain dalam negara. BERNAMA
Article source:












