SAPP: Beri surat tunjuk sebab antara tindakan ditimbang BN

Posted on 24 June 2008

 sapp_yong cakap-cakap

YONG Teck Lee berucap pada majlis jelajah di Kg Likas, Kota Kinabalu susulan tindakan parti itu mengisytiharkan pendirian tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri. 

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dipercayai telah memutuskan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Parti Maju Sabah (SAPP) berikutan pendirian parti itu untuk membawa ataupun menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat.

mStar Online difahamkan perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan BN di sini hari ini.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat itu tidak mengumumkan bentuk tindakan yang diputuskan.

Sebaliknya kata beliau, jawatakuasa itu menggariskan beberapa cadangan kepada Dewan Tertinggi BN mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap SAPP.

“Saya tidak dapat mengumumkan syor itu. Syor itu adalah syor spesifik yang kita buat. Kita akan kemukakan cadangan kepada Dewan Tertinggi dalam sedikit masa lagi,” kata beliau dipetik Bernama.

Mesyuarat itu dihadiri wakil kesemua parti komponen BN kecuali SAPP yang tidak.

Ia diadakan sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul berkaitan kenaikan harga petroleum dan barangan di tengah-tengah pengumuman Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee pada minggu lalu bahawa pihaknya akan membawa usul undi tidak percaya ke atas Abdullah di Parlimen, semalam.

Usul berkenaan tidak dibawa malah dua wakil rakyat SAPP yang menjadi harapan Yong tidak berada di Dewan Rakyat ketika usul kenaikan harga petroleum dan barangan dibahas dan diluluskan semalam.

Malah kedua-dua wakil rakyat berkenaan iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) tidak kelihatan di Dewan Rakyat sepanjang hari ini.

Mereka dikatakan telah pulang ke Kota Kinabalu semalam tanpa mengambil bahagian dalam sesi sidang Parlimen atas alasan menerima ugutan mengancam keselamatan.

Dewan Rakyat telah meluluskan usul kenaikan harga petroleum dan barangan dengan kiraan undi 129 menyokong dan 78 menentang.  .

SAPP merupakan antara 14 parti komponen BN.

SAPP memutuskan pendiriannya minggu lalu. Bagaimanapun mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN Khamis lalu tidak membuat apa-apa tindakan melainkan mahu meminta penjelasan rasmi SAPP.

Bagaimanapun SAPP menegaskan semula pendiriannya sehari kemudian.

Sementara itu, Najib yang ditanya sama ada Jawatankuasa Pengurusan BN turut mencadangkan supaya SAPP diberikan surat tunjuk sebab, hanya berkata: “Saya tidak akan menyatakan keputusan kita. Itu syor kepada pucuk pimpinan tertinggi BN.”

Kata beliau, mesyuarat hari ini bersetuju supaya kerajaan memberi perhatian serius serta keutamaan kepada permasalahan yang membabitkan kepentingan penduduk negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa jua isu yang dibangkitkan melibatkan kepentingan penduduk di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia hendaklah diberi perhatian serius supaya rakyat rasa yakin terhadap BN,” katanya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, tarikh mesyuarat Dewan Tertinggi BN belum ditetapkan lagi.

“Kita perlu melihat tarikh yang sesuai kepada Perdana Menteri yang perlu mempengerusikan mesyuarat itu,” katanya.

Antara pemimpin BN yang menghadiri mesyuarat hari ini ialah Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden Parti Progresif Demoratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan; pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Datuk Seri Joseph Kurup and Presiden Pafrti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V. K Liew.

Kecuali Bernama, RTM dan agensi berita asing, sidang akhbar Najib itu tidak dihadiri media tempatan yang membantah tindakan pentabiran Parlimen melarang mereka membuat liputan di kawasan lobi Parlimen mulai hari ini.

BERITA TERDAHULU

(Mutakhir) PETALING JAYA: Kini giliran Barisan Nasional (BN) pula mahu ‘memburu’ Parti Maju Sabah (SAPP) yang memberontak terhadap pucuk kepimpinan?  

Selepas kurang 24 jam Dewan Rakyat meluluskan usul kenaikan harga petroleum dan barangan dengan kiraan undi 129 menyokong dan 78 menentang, Jawatankuasa Pengurusan BN dijadual mengadakan mesyuarat tengah hari ini di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu yang akan dipengerusikan oleh Ketua Whip BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dipercayai akan memutuskan bentuk tindakan - antara lain memberi surat tunjuk sebab kepada SAPP berhubung pendiriannya tidak percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri.

SAPP merupakan antara 14 parti komponen BN.

SAPP memutuskan pendiriannya minggu lalu. Bagaimanapun mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN Khamis lalu tidak membuat apa-apa tindakan melainkan mahu meminta penjelasan rasmi SAPP.

Bagaimanapun SAPP menegaskan semula pendiriannya sehari kemudian.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) tidak kelihatan di Dewan Rakyat.

Mereka dikatakan telah pulang ke Kota Kinabalu semalam tanpa mengambil bahagian dalam sesi sidang Parlimen atas alasan menerima ugutan mengancam keselamatan.

BERITA TERDAHULU

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hanya meluluskan usul kenaikan harga petroleum dan barangan hari ini - sebagaimana dijangkakan - sekali gus dilihat sebagai satu tamparan kepada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, pemerhati-pemerhati juga melihat senario itu sebagai petanda kemenangan ‘politik’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berhadapan dengan tekanan dalam dan luar Barisan Nasional (BN) dan Umno sejak pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Sebaliknya, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tegas diperkatakan oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee sejak Selasa lalu tidak dibincangkan hari ini.

Malah, tiada seorang pun wakil rakyat yang mengambil bahagian dalam perbahasan  mempertikaikan kepimpinan Abdullah dengan menyatakan tidak percaya ataupun tidak yakin dengan beliau.

Seramai 18 Ahli Parlimen masing-masing sembilan mewakili BN dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan usul itu.

Yang menarik, dua wakil rakyat SAPP yang dikatakan oleh Yong akan membawa usul berkenaan juga tidak berada di Dewan Rakyat apabila usul berkaitan kenaikan harga barangan diluluskan pada pukul 6.58 petang tadi.

Kedua-dua mereka ialah Datuk Eric Enchin Majimbun dari kerusi Sepanggar dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau).

Dewan Rakyat yang mula bersidang pukul 10 pagi ini dengan sesi soal jawab lisan meluluskan usul tersebut yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad setelah undian secara belah bahagi dijalankan.

Seramai 129 Ahli Parlimen menyokong usul itu sementara 78 yang lain membangkang.

BN mempunyai 140 anggota manakala Pakatan Rakyat pula 82 kerusi di Dewan Rakyat.

Menteri yang tidak hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (BN-Jelebu), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa).

Selain Eric dan Chua, wakil BN yang tidak hadir ialah Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (Jerantut), Tiong Thai King (Lanang), Raimee Unggi (Tenom) dan Datuk Dr James Dawot Mamit (Mambong).

Selain itu, tiga daripada empat anggota Parlimen pembangkang yang tidak hadir ialah Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Pada peringkat awal undian dilakukan secara suara ramai, tetapi ia telah dibantah keras oleh M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee pada awalnya enggan membenarkan undian secara belah bahagi dengan alasan tidak ada permintaan sebelum undian secara suara ramai dijalankan.

Bagaimanapun setelah hampir 10 minit keadaan kucar-kacir dalam dewan, Dewan Rakyat membenarkan undian dijalankan secara belah bahagi dengan alasan bantahan dibuat lebih 15 ahli Parlimen.

Ketika itu sidang Dewan Rakyat dikendalikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menerima bantahan yang dikemukakan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) mengikut Perkara 46(4) peraturan mesyuarat iaitu apabila 15 anggota atau lebih bangun membantah terhadap keputusan Dewan sebelum itu yang mengundi mengikut suara.

Ini adalah kali kedua pembangkang memilih kaedah undi sedemikian selepas kali pertama berbuat demikian ketika undian dibuat untuk meluluskan Rang Undangundang Perbekalan 2008 (2007), yang juga memihak kepada kerajaan sebanyak 92 berbanding 60 undi pada 28 Mei lalu.

Loceng terpaksa dibunyikan untuk beberapa ketika bagi memanggil ahli-ahli Parlimen yang berada di ruang legar Dewan Rakyat dan di kantin agar masuk ke dewan untuk membolehkan undian secara belah bahagi dilakukan.

Ketika undian belah bahagi sedang dijalankan, beberapa orang Ahli Parlimen pembangkang pula bagun mempersoalkan mengapa tidak ada peraturan membolehkan mereka membuat undi secara rahsia.

Usul kenaikan harga petroleum dan barangan dikemukakan tiga minggu selepas kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga minyak Kenaikan harga minyak disusuli dengan penstrukturan semula subsidi.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok.

Article source:

mSTAR Online

Share and Enjoy:
  • Digg
  • del.icio.us
  • blinkbits cakap-cakap
  • StumbleUpon
  • Technorati

This post was written by:

Political Guru - who has written 4248 posts on Voice of Malaysian.

We are a politically neutral platform specially set up for Malaysians like you to voice your opinions on the current issues of our country. Now everyone can be a politician. Share your views and your thoughts; give your suggestions and comments, and offer your solutions to the biggest problems in our country today. Besides politics we also have other topics such as Sports and the latest world news for you to comment. So go ahead, Voice Your Heart Out!

Contact the author

Leave a Reply

Site Sponsors

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Add to Technorati Favorites

Calendar

June 2008
M T W T F S S
« May   Jul »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Archives

Voice of Malaysian

↑ Grab this Headline Animator