PUTRAJAYA: Pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada pagi Ahad memutuskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim ditempatkan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.
Bercakap dalam satu sidang akhbar, Naib Presiden PKR, Azmin Ali mendedahkan Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.
“Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya,” kata Azmin.
Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.
Pada sidang media tengah hari Ahad, isteri Anwar dan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata ancaman bunuh lebih kurang seminggu lalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Syed Hussien Ali turut mengesahkan nyawa Anwar diancam bahaya.
“PKR memutuskan untuk ‘menyembunyikan’ penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.
Syed Husin berkata, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi “kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri”.
Tegasnya, dan parti telah memutuskan untuk beliau perlu ditempatkan di lokasi yang selamat pada ketika ini.
Jelas beliau, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.
Di KUALA LUMPUR: Sekumpulan kira-kira 30 orang pemimpin dan penyokong PKR berkumpul di hadapan kedutaan besar Turki sejak pukul 4 petang ini, dengan diawasi oleh polis.
Antara mereka ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohamad Fairuz Khairuddin dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Seorang daripada pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan berkata Anwar berada di kedutaan itu sejak tengah hari ini bagi mendapat perlindungan.
Bercakap kepada kumpulan pemberita, beliau berkata Dr Wan Azizah akan membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh terhadap Anwar esok.
Sehingga pukul 6.15 petang, Dr Wan Azizah tidak kelihatan memasuki atau keluar dari kedutaan itu.
Article source:












