Anwar dedah bukti baru kes Altantuya, Najib nafi temui wanita Mongolia

Posted on 03 July 2008

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini - yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang pernah diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.

Bagaimanapun Najib yang ditemui di bangunan Parlimen lewat petang ini sekali lagi menafikan beliau mengenai Altantuya, sebaliknya menegaska tidak pernah menemui wanita Mongolia itu.

Najib juga berkata, akaun bersumpah yang dikeluarkan bertujuan mengalih tumpuan daripada dakwaan kes meliwat dihadapi Anwar sekarang.

Maklumat itu dinyatakan dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 yang dibuat oleh Balasubramaniam.

010783976 cakap-cakap
ANWAR Ibrahim bercakap pada sidang media yang ketiga selepas dakwaan meliwat melibatkan beliau dilaporkan Sabtu lalu. Sidang media hari ini diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya.

balasubramaniam%20picture cakap-cakap

Balasubramaniam (gambar) merupakan salah seorang saksi kes pembunuhan Altantuya yang kini telah masuk peringkat penghujahan pendakwaan.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Ketika mengumumkan kandungan akuan bersumpah Balasubramaniam di sini pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah semasa perbicaraan.

“Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, “perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998.”

Balasubramaniam dan peguamnya, Americk Singh Sindhu juga hadir pada sidang media itu.

Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.

Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.

Kata Anwar, “hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya.”

Antara lain akuan bersumpah itu menyebut bahawa Altantuya telah diperkenalkan kepada Razak Baginda, yang ketika itu Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik Malaysia (MRSC), oleh Najib pada pameran berlian di Singapura dan ketiga-tiga mereka pernah ditemui semasa makan malam di Paris.

Selain itu, Altantuya juga telah dijanjikan komisyen AS$500,000 atas khidmat sokongannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib yang beliau pernah menafikan sebelum ini.

“Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya,” katanya lagi.

Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.

Setakat ini kes pembunuhan Altantuya telah berlangsung selama 124 hari.

Mulai 23 Julai ini, mahkamah akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan   setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124 pada 23 Jun lalu.

Dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat itu, Balasubramaniam meminta pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Kata Balasubramaniam, terdapat kemungkinan yang kuat ada tiga lagi individu memainkan peranan penting selain tiga tertuduh yang sedang menghadapi kes tersebut.

BERITA TERDAHULU

Dakwaan liwat: Dua pertiga percaya bermotif ‘bunuh’ kerjaya politik Anwar

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Hampir 60 peratus golongan muda masyarakat Melayu negara ini beranggapan bahawa dakwaan liwat terbaru melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan menghalang kerjaya politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Kajian ringkas kendalian pusat penyelidikan pendapat umum tempatan, Merdeka Center menunjukkan hampir dua pertiga responden yang ditemui awal minggu ini, berusia dalam lingkungan 20-an, berpendapat dakwaan kedua dalam tempoh satu dekad itu bermotifkan politik.

Hanya 11 peratus responden yang tidak bersetuju bahawa isu terbaru yang menyelubungi Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berunsur ’pembunuhan kerjaya politik’, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian kepada mStar Online petang tadi.

Kata beliau, kajian itu melibatkan 225 responden Melayu yang ditemui Isnin dan Selasa lalu iaitu dalam tempoh dua hingga tiga selepas isu tersebut didedahkan oleh media massa.

“Ini kajian ringkas dan data diperoleh ketika isu ini masih baru lagi. Kajian ini akan dikembangkan dan ada kemungkinan pendapat dan pandangan responden boleh berubah berdasarkan perkembangan semasa,” tambah beliau.

Kata beliau, kajian ini hanya mengemukakan dua soalan.

Berhubung soalan sejauh mana mereka percaya laporan mengenai isu berkenaan, seramai 49 peratus responden mengatakan tidak percaya sama sekali manakala enam peratus mengatakan bahawa mereka percaya dengan dakwaan itu. Seramai 34 peratus responden mengatakan tidak tahu manakala 11 peratus enggan menjawab soalan berkenaan.

Tahap peratusan ralat kajian adalah kira-kira 6.5 peratus.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

BERITA TERDAHULU

Ezam: Dakwaan liwat Anwar tiada kaitan beliau masuk Umno

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd. Nor yang kembali ke pangkuan Umno bulan lalu menegaskan, beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang konspirasi yang didakwa wujud untuk menjatuhkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Malah kata Ezam, isu dakwaan meliwat yang dihadapi semula oleh Anwar, buat kali kedua dalam tempoh satu dekad, juga tiada kaitan dengan tindakan beliau menyertai semula Umno.

“Saya tidak terlibat langsung… ia juga tidak berkait dengan kemasukan (semula) saya ke dalam Umno,” kata Ezam ketika dihubungi hari ini.

Pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor semalam, Anwar berkata, tiga orang yang dikenali Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

“Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain,” katanya.

Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof.

Anwar turut membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Ketika mengulas lanjut, Ezam berkata, masalah yang dihadapi oleh Anwar seharusnya diselesaikan secara peribadi dan mengikut lunas agama.

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa, malah sejak kes (pertama) tahun 1998, isu-isu ini seharusnya diselesaikan menerusi pendekatan bukan politik,” katanya.

BERITA TERDAHULU

Anwar tangguh umum kerusi ditandingi, nama 4 MP BN sertai Pakatan

(Mutakhir) SHAH ALAM: Pengumuman mengenai kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal tandingi dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwa akan melompat parti, yang dinanti-nantikan banyak pihak tidak menjadi kenyataan malam tadi!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut ramai akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya kecil tidak berbuat demikian.

Malah, Anwar yang kini berhadapan dengan isu terbaru dakwaan meliwat seorang pembantu khasnya juga menangguhkan hasrat beliau untuk mengumumkan nama empat Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata Anwar, mengambil kira suasana politik semasa beliau akan mengumumkan nama mereka dalam beberapa minggu lagi atas alasan mahu menyelesaikan kes terbaru dihadapinya sekarang.

Beliau memberi jaminan keempat-empat wakil rakyat berkenaan akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya dalam satu rapat umum yang diadakan di Stadium Malawati di sini.

Anwar tiba di stadium itu pada pukul 10 malam dan mula berucap kira-kira sejam bermula 10.15 malam.

Semalam Anwar mengatakan bahawa dua daripada mereka merupakan wakil rakyat Umno.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, beliau akan turut menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung kes yang menimpanya.

Anwar juga menyentuh isu kesan kenaikan harga minyak, kerajaan tidak telus dan isu yang dihadapinya pada 1998.

Turut hadir dalam rapat umum itu adalah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; Setiausaha Agung yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia  Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat tidak hadir.

Petang tadi, Azmin ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen berkata, Anwar akan mengumumkan rancangannya untuk bertanding pilihan raya kecil dan nama wakil rakyat BN terbabit.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi menafikan tuduhan liwat terhadap dirinya oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau percaya, ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Anwar membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana dikatakan memalsukan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lalu.

BERITA TERDAHULU

Anwar dakwa 3 orang rancang kes liwat, PM jamin keselamatan

Oleh SA’ODAH ELIAS, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

ipk_anwar_new8 cakap-cakap

ANWAR Ibrahim dengan ditemani Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana, Petaling Jaya petang tadi. - foto The Star oleh Azhar Mahfof

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga orang yang dikenali Mohd Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

“Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor petang tadi.

Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof.

Anwar menjelaskan, Saiful bukan bekerja secara tetap dengannya tetapi mula berkhidmat secara sukarela dengan PKR dalam kempen pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau juga berkata peguamnya telah menulis tiga pucuk surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan tarikh beliau boleh memberi keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit.

“Peguam saya ada berhubung dengan mereka, tapi sampai sekarang mereka belum jawab,”  katanya.

Anwar juga berkata, sebab utama beliau bersembunyi di kediaman Duta Turki, Barlas Ozener, adalah bagi menjaga keselamatannya.

Kedutaan Turki dalam satu kenyataan semalam menjelaskan bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibenarkan berada di kediaman dutanya atas dasar perikemanusiaan semata-mata.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan keselamatan Anwar sentiasa terjamin dan menolak sebarang kemungkinan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dianiaya.

Jaminan itu diberikan oleh Abdullah ketika pertemuan kira-kira 20 minit dengan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wam Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pejabatnya di bangunan Parlimen berikutan dakwaan Saiful yang mendakwa diliwat majikannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu Abdullah berkata, kerajaan tidak sekali-kali akan menganiayai atau menzalimi sesiapa atau membuat tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak.

Katanya, jaminan kerajaan itu diberikannya kepada Azizah setelah beliau meminta agar kerajaan memastikan nyawa suaminya itu tidak terancam tidak dizalimi.

Abdullah berkata, kerajaan juga akan memastikan bahawa keselamatan orang yang membuat tuduhan terhadap Anwar itu serta yang dituduh sentiasa terjamin.

Mengenai kesangsian yang dilahirkan Azizah terhadap kredibiliti siasatan terhadap suaminya nanti memandangkan dua personaliti yang terlibat dalam siasatan terhadap Anwar 10 tahun lalu iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail akan terlibat dalam siasatan kali ini Abdullah berkata: “Musa dan Gani adalah orang yang profesional dan berkredibiliti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.”

Katanya, walaupun Anwar telah membuat laporan polis terhadap Musa dan Gani, pada peringkat ini masih terlalu awal bagi kerajaan untuk membuat ketetapan mengenai peranan kedua-duanya dalam siasatan kes itu.

Ditanya sama ada kebimbangan Azizah terhadap keselamatan suaminya itu berasas atau sebaliknya, Abdullah berkata, itu hanya perasaan mereka sedangkan pada hakikatnya undang-undang mempunyai peruntukan untuk memastikan keselamatan semua pihak terlibat.

Ditanya sama ada jaminan kerajaan tentang keselamatan Anwar dan mereka yang terlibat dalam kes itu boleh dilihat sebagai campur tangan kerajaan dalam siasatan polis Abdullah menidakkannya.

Jelas beliau, semua yang terlibat adalah mereka yang berpengalaman tinggi dalam tugas mereka dan jaminan yang beliau berikan kepada Azizah adalah sesuatu yang memang diperuntukkan undang-undang.

Mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin PKR bahawa mereka mempunyai maklumat yang disampaikan badan perisik sebuah negara jiran tentang usaha membunuh Anwar dan usaha pihak yang tidak dinamakan untuk membawa masuk pembunuh upahan untuk tujuan itu Abdullah berkata:

“Kalau mereka ada apa-apa maklumat tentang ancaman terhadap nyawa Datuk Seri Anwar, mereka perlu lapor kepada polis dengan memberikan maklumat yang tepat. Jangan hanya buat andaian dan cakap-cakap.

“Saya harap tidak ada pihak buat andaian, spekulasi dan lontar tuduhan pada mana-mana pihak. Biarlah siasatan kes ini dijalankan dengan adil.”

BERITA TERDAHULU:

Anwar anjur rapat umum malam ini, umum 4 MP BN sertai Pakatan Rakyat

(Mutakhir) PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pukul 3 petang tadi, dijadual mengadakan rapat umum di Stadium Shah Alam pada pukul 8.30 malam ini.

Difahamkan, rapat umum itu diadakan untuk memberi peluang Anwar menjelaskan kedudukan dirinya dan situasi politik semasa.

Selain itu, Anwar juga dijangka mengumumkan nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut kemungkinan menyertai Pakat Rakyat.

Dua daripada mereka dikatakan wakil rakyat Umno.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali di lobi Parlimen hari ini.

“Saya tiada hak untuk umumkan apa-apa. Anda (media) kena tunggu dan dengar malam ini.

“Ketua Umum Pakatan Rakyat, Anwar juga akan hadir pada perhimpunan malam ini untuk menjelaskan kepada penyokongnya mengenai apa yang telah berkaku,” katanya.

Selepas satu tempoh selama 10 tahun, Anwar berhadapan dengan dakwaan yang sama.

Tuduhan liwat ke atas Anwar kali ini menjadi topik hangat setelah satu laporan polis dibuat oleh pembantunya Saiful Bukhari Azlan, 23, pada Sabtu lalu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Bagaimanpun, Anwar mendakwa tuduhan terbaru itu adalah satu fitnah dan keselamatannya terancam.

Beliau juga mendakwa, semua tuduhan ini merupakan ulangan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan dan membunuh karier politiknya.

Ditanya berhubung khabar angin kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor, akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar, Azmin memberitahu, perkara itu sudah dibincangkan.

“Berdasarkan perbincangan yang kita lakukan, beberapa Ahli Parlimen menyatakan persetujuan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding,” katanya lagi.

Mengenai langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan tahap keselamatan Anwar terkawal, Azmin memaklumkan PKR akan mepertingkatkan kawalan keselamatan terutamanya ketika menghadiri perhimpunan umum.

“Selain itu kita juga menyambut baik jaminan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai keselamatan Anwar,” katanya.

Azmin juga menyifatkan dakwaan terbaru salah laku seksual terhadap Anwar adalah fitnah yang kejam dan jahat.

“Ini fitnah yang menggunakan skrip yang lama pada tahun 1998. Kita harap perhatian rakyat tidak dialihkan dengan isu-isu seperti ini.

“Apa yang penting ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menumpukan perhatian kepada soal masalah ekonomi yang menekan kehidupan rakyat hari ini,” katanya lagi.

Anwar Ibrahim berada di IPK Selangor 40 minit. Beliau tiba di IPK kira-kira pukul 2.50 petang dengan diiringi lima peguamnya dan meninggalkan premis itu pada pukul 3.25 petang.

Turut berada di pekarangan IPK ialah kira-kira 500 penyokongnya.

Semalam beliau keluar daripada berlindung di Kedutaan Turki, Kuala Lumpur selama lebih 30 jam.

Ketika ditemui wartawan petang ini, Anwar berkata, beliau akan berjuang habis-habisan untuk mematikan konspirasi politik kali kedua.

“Jangan cuba lagi,” katanya pada sidang akhbar sejam selepas membuat laporan polis di IPK.

Malah, kata Anwar, Saiful tidak pernah akrab dengan beliau, sebaliknya dengan Timbalan Perdana Menteri dan pegawainya.

“Saya telah meminta polis siasat itu,” katanya lagi.

Bagaimanapun Anwar mengakui bahawa Saiful pernah meminta jadi sukarelawan ketika pilihan raya umum yang lalu di bawah penyeliaan salah seorang pegawainya.

Katanya, laporan polis juga dibuat terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kewujudan elemen memesokongkan bukti pada 1998.

Tambah Anwar, peguammnya telah menghantar tiga surat kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan, tetapi sehingga petang ini belum ada maklum balas.

Dalam pada itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (Pas-Tumpat) melahirkan kekecewaan mengenai situasi politik negara kerana masih wujud lagi konspirasi untuk menjatuhkan seorang pemimpin politik.

“Konspirasi seperti ini adalah kaedah yang cukup jijik dan mengaibkan,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat sebarang bukti untuk menyangkal dakwaan terhadap Anwar, beliau berkata sebahagian bukti-bukti politik telahpun ditunjukkan dan apabila kes ini dibawa ke mahkamah, bukti perundangan akan ditunjukkan.

Article source:

mSTAR Online

Share and Enjoy:
  • Digg
  • del.icio.us
  • blinkbits cakap-cakap
  • StumbleUpon
  • Technorati

This post was written by:

Political Guru - who has written 4248 posts on Voice of Malaysian.

We are a politically neutral platform specially set up for Malaysians like you to voice your opinions on the current issues of our country. Now everyone can be a politician. Share your views and your thoughts; give your suggestions and comments, and offer your solutions to the biggest problems in our country today. Besides politics we also have other topics such as Sports and the latest world news for you to comment. So go ahead, Voice Your Heart Out!

Contact the author

Leave a Reply

Site Sponsors

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Add to Technorati Favorites

Calendar

July 2008
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Archives

Voice of Malaysian

↑ Grab this Headline Animator