
LENGANG…Urus niaga di Bursa Malaysia ditutup hari ini ekoran masalah teknikal. Ia akan dibuka seperti biasa esok. - foto The Star oleh Brian Moh
KUALA LUMPUR: Tiada urus niaga di Bursa Malaysia hari ini kerana bursa itu menghadapi kegagalan sistem, yang menimbulkan spekulasi di kalangan pelabur yang cemas.
Lewat petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak mahu masalah yang sama berulang sambil menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan perkembangan politik tanah air.
Menambah kepada ketidaktentuan itu ialah kenyataan Bursa Malaysia awal hari ini yang menyatakan dagangan akan disambung di sebelah petang. Ia kemudian menarik balik kenyataan itu dan satu lagi dikeluarkan yang menasihati bahawa pasaran akan terus ditutup sehingga pemberitahuan selanjutnya.
Pada 3.47 petang, Bursa Malaysia memberitahu peniaga bahawa pasaran digantung untuk hari ini.
Seorang peniaga berkata sesetengah pelabur menyangkakan pada awalnya pemberhentian dagangan disebabkan oleh langkah memberhentikan dagangan pada paras tertentu, kerana pasaran dijangka menjadi lemah berikutan prestasi lembap semalaman di Wall Streeet.
Semalam, penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur jatuh 21.13 mata kepada paras terendah 15 bulan di paras 1,153.7.
Indeks Perusahaan semalam jatuh 32.57 mata kepada 2,507.82, Indeks Kewangan jatuh 78.51 mata kepada 8,531.76 dan Indeks Perladangan turun 225.91 mata kepada 7,628.63.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia yakin dagangan dalam pasaran akan disambung semula esok, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Yusli Mohamed Yusoff kepada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelabur Malaysia, Datuk PHS Lim, berkata bursa itu perlu mempunyai sistem sokongan yang boleh mengelakkan gangguan teknikal dalam sistem dagangan hingga menyebabkan pasaran saham itu ditutup, sekali gus mengelakkan salah tanggapan mengenai sistem kewangan negara.
“Masalah sedemikian akan menimbulkan tanggapan kepada pelabur bahawa ia berlaku disebabkan oleh keadaan politik, ekonomi dan sosial yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Lim meminta pelabur, khususnya pelabur asing, supaya tidak membuat tanggapan yang salah dan mengandaikan bahawa penggantungan urus niaga itu disebabkan oleh faktor selain daripada masalah sistem komputer. BERNAMA
Article source:












