(Mutakhir) PETALING JAYA: Bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan (gambar) yang mendakwa dia diliwat majikannya beberapa kali telah melahirkan kesanggupan untuk tampil bermubahalah sebagaimana disyorkan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin minggu lalu.
mStar Online difahamkan, satu kenyataan mengenai perkara itu akan dikeluarkan dalam waktu terdekat. Sebentar tadi, Anwar pula berkata, beliau juga bersedia untuk bersumpah jika dinasihatkan oleh ulama. “Saya bersedia bersumpah asalkan dinasihatkan ulama. Jika mahu ikut syariat Islam, kerajaan boleh hadapkan saya ke Mahkamah Syariah. Masa itu kalau diperlukan bersumpah, saya sedia (untuk bersumpah). “Ada akhbar yang lapor saya tidak berani untuk bersumpah. Tapi saya sudah mendapatkan pandangan ulama dari dalam dan luar negara mengenainya. Ini bukan perkara mainan,” kata beliau ketika berucap pada perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya malam ini. Anwar merupakan orang terakhir berucap pada perhimpunan yang bermula pukul 10 pagi tadi. Kata beliau, Mahkamah Syariah merupakan tempat yang sesuai untuk melakukan sumpah. Bagaimanapun Anwar yang berhadapan dengan dakwaan meliwat buat kali kedua dalam tempoh satu dekad memberitahu bahawa kes terbaru ini tiada asas langsung. “Kemukakan bukti terlebih dahulu,” kata beliau sambil menambah, isu terbaru ini sengaja diadakan untuk mengalih tumpuan rakyat daripada kes pembunuhan wanita Mongolia. “Kalau hendak siasat, siasat dengan adil. Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya. Dalam pada itu, sumber memberitahu mStar Online, Saiful, 23, yang kini berada di bawah perlindungan keselamatan polis juga menyambut baik cadangan itu memandangkan ia satu peluang bagi memulihkan namanya yang turut tercalar. Kata sumber itu, proses bermubahalah yang disyorkan Mufti Perlis sebenarnya berkehendakkan dua pihak, dalam kes ini Saiful dan Anwar, untuk sama-sama melakukannya. “Kesediaan Saiful untuk bersumpah secara tidak langsung memberi tamparan hebat dan tekanan ke atas Anwar yang tidak mengambil serius cadangan bersumpah secara mubahalah ini,” kata beliau ketika dihubungi petang ini. Bagaimanapun ketika ditemui wartawan di Butterworth semalam, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan. Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Mohd. Asri meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan Saiful supaya ‘bermubahalah’ atau bersumpah. Dalam temu bual dengan sebuah akhbar harian semalam, Anwar berkata, beliau lazimnya bersumpah apabila membabitkan isu-isu seperti itu sebelum ini. Namun untuk dakwaan kali kedua ini, Anwar tidak mahu lagi melayan cadangan mereka yang mahu beliau bersumpah kerana beranggapa n ia hanya satu helah semata-mata. Mohd. Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau “sumpah” sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia. Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Mohd. Asri tidak dipengaruhi manamana badan politik. Bagaimanapun, Mohd. Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik. Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut “Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku” manakala satu pihak lagi perlu menyebut ” Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku.” Terdahulu di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata, 18 orang termasuklah doktor yang telah memeriksa Saiful telah disoal siasat. “Polis masih dalam proses mengenal pasti saki baki beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan mereka akan dipanggil dalam tempoh yang terdekat bagi membantu siasatan,” kata Bakri. Ditanya bila polis akan mengambil keterangan daripada Anwar, beliau berkata: “Semuanya terpulang kepada hasil siasatan polis.” Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu hubungan seks tanpa kerelaan. Sehubungan itu, Bakri meminta saksi supaya jangan sengaja mengelak daripada memberikan kerjasama kepada polis untuk dirakamkan percakapan mereka. Menurut beliau, perintah mahkamah akan dikeluarkan sekiranya individu tersebut gagal menghadirkan diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan oleh polis. Bakri juga berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan seadil-adilnya tanpa menyebelahi mana-mana pihak. “Kes ini akan disiasat dengan adil. Kita akan kumpul seberapa banyak maklumat termasuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan siapa di pihak yang benar,” katanya. Saiful dalam laporan yang dibuat di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur 28 Jun lepas, mendakwa Anwar meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih dekat sini beberapa kali sekitar bulan lalu.
BERITA TERDAHULU Anwar enggan ulasan syor bersumpah BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan. Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya ‘bermubahalah’ atau bersumpah. Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru. Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: “Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya.” Pandangan yang sama juga diberikan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria yang meminta supaya bersumpah dilakukan jika tiada bukti. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berpendapat ”mubahalah” atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam. Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau sudah jemu bercakap dan mengulas berhubung tuduhan liwat terhadapnya. “Seminggu yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kisah itu (tuduhan liwat) dan saya tak nak, menyampah dan meluat dengan cerita kotor itu. Saya pernah dituduh dengan tuduhan yang sama dulu. Tuduhan daripada mereka yang kecewa dengan politik,” kata Anwar dipetik Bernama. Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mencabar kerajaan membuktikan bahawa beliau ada berhubung dengan wakil dari kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meminta bantuan daripada negara itu. Kata Anwar, sekiranya kerajaan mempunyai bukti bahawa beliau ada berbuat demikian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sedia untuk tampil ke mahkamah. “Saya tidak buat panggilan, saya tidak menulis surat dan (isterinya Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sendiri pun tidak menghubungi mana-mana pihak dari kerajaan AS. Tetapi ada beberapa pemimpin Islam dari luar negara yang menghubungi saya dan meminta saya bersabar serta mereka mendoakan keselamatan saya. “Saya sudah beritahu saya akan hadapi perkara ini, kalau mereka (kerajaan) ada bukti, bawalah saya ke mahkamah. Saya bersedia,” kata beliau dalam ceramah perdananya. BERITA TERDAHULU Mahathir: Drama politik terbaru satu komplot Anwar KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa seluruh drama politik pertaruhan besar yang dipertontonkan kini kepada ramai adalah hasil komplot oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Saya tidak menagih simpati daripada sesiapa. Tetapi agak keterlaluan mengharapkan saya untuk melupa dan memaafkan sesuatu yang sedang berlaku akibat komplot oleh Anwar. “Anwar memang berjaya menghitamkan nama saya di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi juga di negara-negara Islam. Mereka semua fikir saya mencampakkan beliau ke penjara dengan sewenangnya atas sebab-sebab politik. “Beliau tidak pernah ceritakan bagaimana beliau dibicarakan, bagaimana beliau dibela oleh sembilan peguam, bagaimana hakim menulis keputusan 360 muka terhadap beliau, bagaimana rayuannya ditolak sebanyak dua kali,” kata Mahathir dalam blognya hari ini. Dr. Mahathir menambah: “Beliau (Anwar) telah menyaman saya sebanyak RM100 juta. Beliau telah berjaya menyebabkan peguam saya hilang kredibiliti. Sekarang saya tidak mempunyai peguam untuk membela saya menentang samannya. Saya masih menghadapi saman beliau.” Anwar, kata beliau, kini mengalihkan perhatiannya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. “Seperti biasa beliau (Anwar) mencari seseorang untuk membuat kenyataan yang mengandungi dakwaan terhadap orang itu. Nampak macam tidak ada kaitan antara komplot beliau terhadap saya dan serangannya terhadap Datuk Seri Najib. “Tetapi jika kita kaji siapa yang akan mendapat faedahnya, kita akan lihat kaitannya,” sindir Dr Mahathir tetapi tidak menyebut nama orang berkenaan.
BERITA TERDAHULU Akuan bersumpah senjata politik baru, rakyat mula meluat PETALING JAYA: Rakyat sudah penat dengan ‘perang dakwa-mendakwa’ dalam isu meliwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongolia, khususnya yang mengaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak? Ataupun tindakan seumpama itu sengaja membazirkan sumber, dalam apa jua bentuk, dengan mengada-adakan ‘perang akuan bersumpah’ yang kini seolah-olah menjadi satu ’senjata mematikan’ kerjaya politik? Ketika mengupas isu ini, pemerhati-pemerhati politik tempatan mengakui sudah ada satu trend menunjukkan rakyat juga sudah mula merasakan tuduhan dan dakwaan satu sama lain sebenarnya mengalihkan tumpuan daripada isu-isu sebenar dan soal yang lebih besar di samping membazirkan sumber. Menurut profesor komunikasi Datuk Dr. Syed Arabi Idid, jika dilihat secara menyeluruh negara mengalami kerugian dalam banyak segi kerana sumber-sumber dihabiskan untuk mengeluarkan akuan bersumpah demi akaun bersumpah. “Tindakan secara berterusan ini boleh menjejaskan ekonomi, fikiran orang ramai, keyakinan pelabur. Situasi ini sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan dalam tempoh sebulan. Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya. Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau. Malah Najib juga telah menafikan akuan bersumpah Balasubramaniam sebagai satu pembohongan dahsyat. Selepas 24 jam mendedahkan kandungan akuan bersumpah pertama kelmarin bersama Anwar, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda itu mengeluarkan akuan bersumpah kedua pagi semalam. Dalam akuan bersumpah kedua Balasubramaniam menarik balik kanduan akaun bersumpah pertama yang menuduh Najib mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu. Isu Balasubramaniam mendapat perhatian ketika orang ramai masih belum berupaya ‘menelan sepenuhnya’ dakwaan bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, bahawa dia diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu. Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya. Anwar menuduh Najib sebagai antara orang yang memainkan peranan penting dalam isu Saiful terhadapnya. Najib pula mempunyai pandangan berbeza sambil tertanya-tanya mereka beliau diperlakukan sedemikian. Anwar pula sejak sejurus pilihan raya umum 8 Mac lalu mengumumkan Pakatan Rakyat yang beliau merupakan Ketua Umum akan membentuk kerajaan menjelang 16 September ini. Beliau telah mengulanginya banyak kali. Parti Maju Sabah (SAPP) pula mengisytiharkan pendirian tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan merancang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen minggu lalu tetapi tidak menjadi kenyataan. SAPP tidak keluar Barisan Nasional (BN) sebaliknya pakatan kerajaan pusat itu telah menghantar surat tunjuk sebab kepada parti itu. Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif pusat kajian pendapat umum Merdeka Center, Ibrahiam Suffian mengakui bahawa sudah mula wujud satu bentuk rasa tidak senang ekoran ’perang dakwa-mendakwa’ yang berlaku sekarang. “Perasaan ini semakin berkembang. Ini wujud di kedua-dua pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang,” kata beliau sambil menambah, suasana itu akan terus berkembang. Jelas Ibrahim, keadaan itu menyebabkan tumpuan dialihkan daripada isu-isu yang sebenar dihadapi rakyat, antara soal inflasi, jenayah dan keselamatan serta institusi kehakiman yang menjadi perhatian ramai. “Keadaan ini wujud kerana ada ahli politik yang hanya mahu menjaga kepentingan masing-masing,” katanya. Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan Balasubramaniam menarik balik tuduhan terhadap Najib setelah mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai hubungan dengan Altantuya dalam akuan bersumpahnya membuktikan konspirasi untuk menjatuhkan pemimpin Umno itu gagal. Pengakuan tersebut jelas merupakan satu perkara yang direka cipta oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan agenda politik, katanya dan menambah, “jelas pihak tertentu yang mereka cipta perkara ini ialah Anwar dan parti Pakatan Rakyat kerana mereka ada kepentingan dalam hal ini. Khairy berkata, situasi itu juga menunjukkan akuan bersumpah seolah-olah tiada nilai kebenaran dan berharap masyarakat tidak akan mudah terpengaruh dengan perkara tersebut.
BERITA TERDAHULU Drama baru? Bala tarik balik akuan bersumpah kaitkan Najib-Altantuya (Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi? Dalam perkembangan mengejutkan, tidak sampai 24 jam, bekas penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam yang semalam menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu menerusi akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, pagi ini menarik balik tuduhan itu. Semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi peguam barunya, M. Arulampalam pada sidang akhbar di sini. Sivarasa dan Americk Singh Sindhu pula mengadakan sidang media mereka pukul 5 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil menafikan Balasubramaniam telah dipaksa untuk membuat akuan bersumpah pertama bertarikh1 Julai. “Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,” kata Arulampalam yang dipetik Bernama, dalam akuan bersumpahnya yang baru bertarikh hari ini. Sidang media Balasubramaniam diadakan pukul 10 pagi ini. Pada sidang media 11.30 pagi semalam, Balasubramaniam muncul bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, peguamnya Sivarasa Rasiah dan AmerickSingh Sindhu. Akuan bersumpah yang baru itu menyatakan: “Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bilabila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya Shaaribu oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya Shaaribu dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii. “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya Shaaribu kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri. Semalam Balasubramaniam telah mendedahkan mengenai hubungan langsung Timbalan Perdana Menteri bersama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada Oktober 2006. “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersamasama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersamasama makan malam di Paris; “Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak US$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris; “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaaribu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura; “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak; “Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaaribu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai; “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan; dan “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang. Lewat petang semalam, Najib sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan menyifatkan tuduhan mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh itu sebagai “pembohongan dahsyat”. Najib menegaskan, cubaan terbaru itu untuk mengaitkan beliau dengan jenayah h itu adalah “rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya.” Dalam pada itu, Americk pula menafikan pengakuan bersumpah Balasubramaniam yang didedahkan semalam dilakukan atas dasar paksaan. Article source: |

(Mutakhir) 











July 7th, 2008 at 12:40 pm
Akuan bersumpah ni dah makin lama makin hangat nampaknya…
Dalam kes Anwar nie, siapa-siapa pun yang bersumpah, kredibilitinya tetap
meragukan, lebih-lebih lagi kalau kedua-dua pihak membuat sumpah, salah seorang nye tetap bersalah.
Jestru itu, biarlah pihak yang berkuasa menentukan… penatla memikirkan karenah politik si Anwar nie.. bukannya nak anti Anwar, tetapi inilah hakikatnya. Dahulu semasa dia berkuasa dia tinggalkan semua prinsip dan ideologi yang di pegangnya semasa ABIM, tetapi apabila sudah jatuh, mula la mencari2 balik ideologi lamanya dan bergerak semula dan kali ini di bawah bendera pembangkang untuk kepentingan peribadi.
Semenjak dia di pecat, tidak ada satu perkara yang baik datang darinya. Semua kekecohan yang berlaku sehingga kini hanya ada satu matlamat…’Anwar Ibrahim’.
Segala kontroversi dan kekecohan yang ditimbulkan sangat-sangat membazir. Membazir tenaga kakitangan kerajaan, polis badan kehakiman dan mereka-mereka yang terlibat secara langsung dan tak langsung. Banyak lagi isu lain yang perlu mendapat perhatian dan tidak seharusnya tergendala hanya kerana Anwar Ibrahim…
Saya merayu sangat-sangat kepada penyokong-penyokong Anwar Ibrahim supaya menghentikan semangat taksub kepada Anwar nie, dan membuka minda luas-luas… agar dapat memikir secara rasional bahawasanya tida ada seorang pun yang sempurna dalam dunia nie…
Berilah peluang kepada pihak berkuasa menjalankan tugasnya dan menerangkan kebenaran… kita terima sahajalah apa pun keputusan dengan minda yang terbuka…wassalam..
Tok Uban