BENARKAH kredibiliti Anwar tercalar setelah terpaksa menghadapi dakwaan liwat untuk kali kedua?
Barangkali seperti kata penganalis politik Prof Datuk Dr Zainal Kling, sokongan rakyat bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat mampu mengharungi kontroversi yang menyelubungi Anwar sekarang sebagai sebuah pakatan atau masing-masing akan menjarakkan diri daripada PKR.
“Pada saya kredibiliti Anwar di kalangan anggota PKR tidak akan terjejas kerana berdasar pengalaman lalu beliau telah membersihkan dirinya daripada tuduhan sebelum ini. Jadi mereka akan anggap ini hanya tohmahan.
“Tetapi di kalangan orang awam barangkali timbul keraguan, menganggap isu ini sebagai sandiwara dan helah pemimpin PKR tersebut. Selain itu, perlu diingat walaupun Anwar dibebaskan di mahkamah, ada aspek-aspek (pada tuduhan liwat sebelum ini) yang tidak dihapuskan oleh mahkamah, jadi orang awam mungkin percaya,” katanya.
Bekas dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu juga bersetuju dengan pendapat bahawa kenyataan yang dibuat pemimpin parti-parti sekutu PKR sebelum ini menggambarkan mereka tidak menolak kemungkinan tuduhan itu benar.
“Kesetiaan mereka (DAP dan Pas) dalam Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan penyiasatan, pengadilan dan penghakiman. Kalau keputusan akhirnya negatif kepada Anwar, maka saya percaya ia akan bawa kesan negatif kepada PKR dan masyarakat awam akhirnya,” katanya.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohammad Agus Yusoff pula yakin kontroversi terbaru Anwar tidak akan menjejaskan kerjasama antara ketiga-tiga parti pembangkang itu buat masa ini.
Sebaliknya, kata beliau, masa yang ada sekarang akan dimanfaat barisan pembangkang untuk mempamerkan imej perpaduan menentang sebarang usaha yang didakwa mereka sebagai penyalahgunaan kuasa.
Katanya sekalipun jika keputusan akhir dalam kontroversi terbaru Anwar adalah negatif bagi pemimpin PKR itu, ia bergantung kepada tanggapan sama ada wujud ketelusan atau tidak dalam proses penyiasatan, perbicaraan dan penghakiman.
“Kalau ada tanggapan semua proses tersebut berlaku secara tidak telus, ini akan menguatkan lagi barisan pembangkang kerana mereka sekarang bersatu membawa imej menentang usaha yang didakwa mereka sebagai salah guna kuasa oleh kerajaan,” kata Mohammad Agus, pensyarah Fakulkti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Tambahan pula, katanya, buat masa sekarang pemimpin DAP dan PAS masih beranggapan tuduhan terhadap Anwar itu lebih bersifat peribadi, bukan masalah kepartian.
Berkenaan sokongan umum pula, Mohammad Agus berkata kontroversi terhadap Anwar tidak banyak menjejaskan pandangan umum terhadap Pakatan Rakyat kerana barisan pembangkang sedang meraih untung daripada keadaan ekonomi sekarang dengan menawarkan harapan yang ia akan berubah jika mereka meneraju pentadbiran.
“Politik berkait dengan harapan dan Pakatan Rakyat menawarkan harapan kepada rakyat yang keadaan akan menjadi baik tatkala masyarakat sedang tenat berdepan dengan krisis kenaikan harga minyak dan kesan yang dicetuskannya,” katanya.
Sekalipun harapan itu belum tentu dapat ditunaikan, ia sudah cukup untuk membuat masyarakat menyokong Pakatan Rakyat, sekalipun peneraju barisan pembangkang itu sedang berdepan dengan isu moral.
Mohammad Agus bagaimanapun bersetuju Pakatan Rakyat tidak akan kekal untuk jangka masa lama kerana wujud perbezaan ideologi yang nyata antara mereka, khususnya antara PKR dan PAS yang membabitkan politik orang Melayu.
“PKR melihat politiknya sebagai politik rakyat sedangkan PAS pula adalah politik agama, dan melindungi agama Islam adalah keutamaan mereka.
“PKR juga mengamalkan apa yang kita kata sebagai mentaliti minoriti iaitu terlalu bergantung kepada sokongan kaum lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata politik amalan PKR itu memberi gambaran orang Melayu mempunyai mentaliti kaum minoriti kerana bergantung kepada sokongan kaum lain, sekalipun hakikatnya orang Melayu tidak perlu berbuat demikian kerana mereka kaum majoriti di negara ini.
Justeru, katanya, akan timbul kesulitan antara PAS dan PKR kerana PAS adalah sebuah parti yang didukung orang Melayu beragama Islam.
Walau apapun keputusan di akhir kontroversi yang menyelubungi Anwar, yang jelas Pakatan Rakyat tidak pernah mengeluarkan kenyataan secara mutlak kerjasama mereka akan berterusan untuk jangka masa panjang.
Malah, sebelum inipun, pemimpin daripada dua parti sekutu PKR itu memandang sepi perancangan Anwar untuk menumbangkan kerajaan BN selewat-lewatnya 16 Sept ini dan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, membayangkan keraguan mereka terhadap rancangan Anwar itu. BERNAMA
Article source:












