(Dikemas kini) PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan merekod keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan melibatkan laporan polis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, minggu depan.
Selain Anwar, BPR juga akan memanggil semula Gani yang terpaksa menangguhkah keterangannya hari ini untuk menghadiri satu mesyuarat penting.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, siasatan mengenai kes itu dijangka selesai sebelum akhir minggu depan.
“Kita telah pun memanggil hampir semua individu yang diperlukan dalam kes ini. Setakat ini kita telah pun merekodkan keterangan 15 orang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Shukri mengetuai panel menyiasat laporan yang dibuat oleh Anwar pada 1 Julai lalu yang mendakwa Gani dan Musa terlibat dalam memalsukan keterangan dalam penyiasatan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor yang didakwa memukul beliau pada 27 September 1998.
Musa dan Gani memberi keterangan kepada BPR pada sebelah pagi.
Musa tiba di pekarangan ibu pejabat BPR di sini kira-kira 8.25 pagi dengan menaiki kereta bernombor pendaftaran WPW 9037.
Beliau kelihatan ceria dan sempat melemparkan senyuman kepada wartawan yang menunggu sejak pukul 7.30 pagi.
Setelah selesai memberi keterangan selama kira-kira lima jam, Musa dilihat meninggalkan perkarangan ibu pejabat BPR itu kira-kira 1 tengah hari.
Abdul Gani pula tiba pukul 9.50 pagi dengan menaiki kereta bernombor pendaftaran WLU 29 dan beredar kira-kira 1 jam 40 minit kemudian.
Pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan yang antara lain mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam pemalsuan keterangan membabitkan kes beliau dipukul pada 27 Sept 1998 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Siasatan kes itu kini diambil alih oleh BPR.
Anwar dalam laporan itu mendakwa, beliau percaya Musa dan Abdul Gani secara aktif terlibat menyediakan laporan perubatan kedua yang menyembunyikan fakta sebenar dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, BPR mendedahkan agensi berkenaan telahpun selesai mengambil keterangan sebahagian daripada saksi utama, kebanyakan mereka pegawai yang terlibat mengendalikan kes Anwar dipukul oleh Abdul Rahim.
Ketika wartawan berusaha mendapatkan ulasan daripada Abdul Gani, beliau yang enggan mengulas berkata: “Saya perlu bergegas menghadiri mesyuarat.”
Musa pula ketika ditanya mengenai kehadirannya di ibu pejabat BPR itu berkata beliau tidak perlu memberikan sebarang kenyataan lagi selepas memberikan keterangannya kepada BPR.
“Saya tidak ada apa nak cakap, mereka sudahpun merekodkan kenyataan saya. Jadi, saya tidak boleh cakap apa-apa lagilah,” katanya.
Article source:












