BESUT: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh melantik peguam bagi meneliti serta memikirkan tindakan berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakannya sebelum ini sebagai yang tertinggi di kalangan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Pegawai khasnya, Kamarulazman Idris dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil kerana kenyataan berkenaan menjejaskan reputasi Idris yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh.
Beliau berkata kenyataan seumpama itu menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri sekarang tergesa-gesa membuat kenyataan tanpa memikirkan kesan di sebaliknya, walaupun membuat permohonan maaf kemudiannya.
“Rakyat Terengganu seolah-olah dikelirukan dengan tuduhan bahawa Idris yang merupakan Menteri Besar ketika itu bersalah kerana penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang paling tinggi,” kata beliau dipetik Bernama.
Beliau berkata, keadaan yang berlaku meninggalkan kesan mendalam kepada bekas Menteri Besar itu yang sedang mengikuti kursus selama sebulan di Perancis ketika ini, dan dijangka pulang ke tanah air pada 8 Ogos ini.
Rabu lepas, Menteri Besar Datuk Ahmad Said mengedarkan senarai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco kerajaan Terengganu yang mencatatkan perbelanjaan paling tinggi melibatkan kereta yang pernah digunakan Idris yang berjumlah RM235,123.08.
Bagaimanapun semalam Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong mengakui berlaku kesilapan daripada segi pengiraan, di mana kos sebenar penyenggaraan kereta yang dipakai bekas Menteri Besar itu ialah RM131.449.83.
Article source:






