Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dibawa polis ke Hospital Kuala Lumpur semalam.
- foto SIN CHEW
(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Selepas ditahan polis lebih 18 jam Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan atas jaminan polis, kata peguamnya Sankara Nair sebentar tadi.
Beliau dibebaskan kira-kira 9.40 pagi tadi.
Pada 18 Ogos ini, Anwar akan kembali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi.
Beliau dilihat keluar dari IPK Kuala Lumpur melalui pintu belakang dan meninggalkan premis itu dengan kereta yang dinaiki isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuju ke rumahnya di Bukit Segambut.
Anwar dilihat meninggalkan perkarangan IPK KL pada 9.45 pagi melalui pintu pagar belakang yang menghala ke Jalan Hang Tuah dengan menaiki kereta pacuan empat roda warna hitam.
Beliau dilihat melambai tangan dari dalam keretanya ke arah petugas media yang cuba mengejar kenderaan beliau.
Anwar ditahan pada 1 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, 50 meter dari rumahnya di Segambut.
Bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu.
Turut serta mengiringi Anwar adalah kereta yang dinaiki oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Kira-kira 35 minit kemudian, beliau tiba di rumahnya sambil ditemani oleh anak-anak dan isterinya.
Menurut peguamnya, Sankara, Anwar mengadu sakit belakang disebabkan tidur di atas lantai ketika ditahan reman sepanjang malam tadi.
Oleh itu, beliau akan menerima rawatan doktor di rumahnya.
Anwar dijangka akan membuat sidang media pada pukul 2 petang ini di rumahnya.
Difahamkan sebelum Anwar dibebaskan beliau telah diambil keterangan, susulan proses semalam.
Kira-kira 45 minit kemudian, peguamnya, Sivarasa Rasiah tiba di IPK.
Sementara Sankara pula tiba pada pukul 8.50 pagi.
Katanya, salah seorang pegawai penyiasat polis menelefon beliau untuk memaklumkan bahawa Anwar akan dibebaskan atas jaminan polis hari ini sejurus selesai memberikan keterangan kepada polis
Pasukan peguam Anwar telah mencuba untuk membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan atas jaminan polis sehingga tengah malam tadi.
Menurut Sankara, pegawai penyiasat itu juga berjanji kepada beliau di mana tahanan reman terhadap Anwar tidak akan dilanjutkan.
Turut serta adalah peguamnya yang ketiga iaitu Saiful Izham.
Pada pukul 9.30 pagi, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di IPKKL bersama tiga orang anaknya termasuk Nurul Izzah dengan menaiki kereta jenis Honda berwarna hitam.
BERITA SUSULAN:
(Dikemaskini) KUALA LUMPUR: Selepas lapan jam ditahan polis, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini memberi jaminan kejadian “mata lebam” yang pernah dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis pada 1998 tidak akan berulang kali ini.
lapan jam ditahan polis, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini memberi jaminan kejadian “mata lebam” yang pernah dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis pada 1998 tidak akan berulang kali ini.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR ) itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat.
Sehingga 12.10 tengah malam, menurut peguamnya Sankara Nair, Anwar akan ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.
Sivarasa berkata, polis juga menolak permohonan keluarga Anwar untuk membebaskannya malam ini dan ekoran itu Anwar dijangka terus ditahan dan bermalam di IPK Kuala Lumpur.
Difahamkan beliau akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok (Khamis) untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan polis meneruskan siasatan dan mendapatkan keterangan beliau berhubung kes liwat itu.
Ia merupakan kali kedua Anwar ditahan polis dalam 10 tahun dan kali kedua berhadapan dengan dakwaan meliwat - kali ini membabitkan bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23.
Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali berkata, jaminan itu diberikan ketika beliau menemui Abdullah di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini malam ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati serta bimbang terhadap cara polis mengendalikan penahanan Anwar, yang juga Ketua Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Azmin berkata, Perdana Menteri telah mengambil maklum terhadap kebimbangan yang beliau suarakan terhadap keselamatan Anwar yang kini berada dalam tahanan polis.
Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya di Bukit Segambut di sini pada 1 tengah hari tadi sekembalinya beliau dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan bagi kes liwat.
Kata Azmin, dalam pertemuan itu beliau telah menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa perkara antaranya termasuk penahanan Anwar lebih awal daripada tempoh yang diberikan oleh polis.
Azmin berkata, Abdullah telah memberikan reaksi positif dengan mendengar serta mengambil maklum segala aduannnya itu dan menambah bahawa peluang sebegini tidak beliau dapati ketika Anwar ditahan pada tahun 1998.
Azmin berkata perbincangan antara beliau dengan Perdana Menteri berjalan dalam suasana cukup baik.
Dalam pada itu, setelah enam jam disoal siasat di IPK Kuala Lumpur, Anwar, 61 diiringi polis dan peguamnya, Sivarasa telah bergerak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan ujian kira-kira pukul 8.35 malam tadi.
Anwar telah ditahan polis pada pukul 1.15 tengah hari berhubung dakwaan meliwat Mohd Saiful.
Setibanya di HKL pada pukul 8.45 malam ini, beliau ditempatkan di Wad Diraja hospital itu.
Anwar yang tidak bergari sempat melambaikan tangan kepada penyokong yang menunggunya di luar.
Selepas dua jam berlalu, kira-kira pukul 10.35 malam, Anwar tiba semula ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Seorang lagi peguam Anwar, R. Sivarasa berkata, ketika di HKL bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanya menjalani pemeriksaan biasa dan tidak membenarkan sampel DNA diambil.
Keputusan sama ada Anwar akan ditahan reman akan diketahui sebentar lagi. Anwar sempat melambai tangan kepada wartawan dan penyokongnya. Anwar sebelum itu menaiki kenderaan empat roda bernombor plat WKP 5641.
Kumpulan 500 anggota polis termasuk FRU dengan dibantu enam buah jentera anti rusuhan dilihat memperketatkan kawalan keselamatan bagi menggelak kumpulan itu yang mula berkumpul sejak 2 petang ini daripada mendekati pintu masuk utama IPK Kuala Lumpur.
Setakat ini, polis menahan seorang wanita kerana mencemuh dan mencaci anggota polis yang berkawal.
Polis juga dilihat dapat mengawal keadaan dan tidak mudah bertindak secara emosi walaupun beberapa kali dihasut kumpulan itu.
Selain itu, kira-kira 15 orang penyokong Anwar juga dilihat duduk sebaris di jalan raya itu sebagai tanda sokongan kepada pemimpin PKR itu.
Sebelum itu, Anwar yang dikeluarkan waran tangkap kerana tidak hadir di IPK Kuala Lumpur petang kelmarin berhubung dakwaan tersebut, ditahan polis tengah hari ini untuk membantu siasatan.
Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita di pekarangan IPK Kuala Lumpur, bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditangkap oleh sepasukan polis di kawasan berhampiran dengan rumahnya.
Anwar mula memberikan kenyataan kepada polis mulai pukul 2.30 petang - kira-kira 70 minit selepas dibawa ke IPK Kuala Lumpur.
Beliau dijangka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan DNA.
Kata Sankara polis boleh menasihatkan Anwar menjalani pemeriksaan di hospital tetapi tidak boleh memaksanya membekalkan sampel untuk DNA.
“Beberapa minit sebelum ditangkap, DSP Jude Pereira (pegawai penyiasat) menelefon saya dan mengesahkan tentang kedatangan mereka. Mereka kata hendak datang, tetapi (Anwar) ditahan di kawasan selekoh di Jalan Segambut (berhampiran rumah Anwar),” katanya.
Semalam polis telah mengeluarkan waran tangkap dan mengkategorikan Anwar sebagai suspek dalam tuduhan Mohd Saiful bahawa majikannya itu telah meliwatnya beberapa kali termasuk pada 26 Jun lalu.
Kira-kira 200 penyokong Anwar pula sudah mula membanjiri kawasan berdekatan dengan IPK.
Dia membuat laporan polis dua hari kemudian.
Ini kali kedua Anwar berhadapan dengan dakwaan seumpama itu selepas kali pertama pada 1998 dan September tahun itu juga beliau ditahan polis di rumahnya.
Polis mengatakan bahawa anda (Anwar) ditahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, Anwar akan direman 24 jam,” kata Sankara dan menambah, polis perlu mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah jika mahu menahan Anwar lebih daripada 24 jam.
Bagaimanapun, kata Sankara Anwar tidak digari semasa dibawa ke IPK.
Anwar dibawa ke IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.15 tengah hari.
Beliau ditahan berhampiran dengan rumahnya di Segambut selepas pulang dari memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporannya yang dibuat terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara pada 1 Julai lalu.
Anwar keluar dari pejabat BPR pukul 12.10 tengah hari.
Ketika ditemui wartawan di Putrajaya, Anwar berkata, beliau telah meminta BPR supaya proses memberi keterangan ditangguhkan kerana perlu hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat.
Kata beliau: “Oleh kerana waran tangkap sudah dikeluarkan, saya perlu berada di IPK Kuala Lumpur dengan segera.”
Ketika ditanya mungkin ditahan, Anwar memberitahu, beliau bersedia jika polis hendak menahannya dan BPR boleh mengambil keterangan di lokap.
Wartawan mStar Online yang berada di IPK Kuala Lumpur melaporkan Anwar dibawa dalam Pajero dengan diiringi kira-kira 15 buah kereta, dipercayai dinaiki anggota polis dan peguamnya.
Surat arahan polis bertarikh 15 Julai (semalam) menyebut Anwar perlu hadir di IPK Kuala Lumpur dan menemui pegawai penyiasat Jude Pereira pada pukul 2 petang ini.
Di IPK Kuala Lumpur Anwar ditemani peguam Sankara dan R. Sivarasa.
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula tiba di IPK dari Parlimen selepas dimaklumkan mengenai tangkapan Anwar.
Beliau disusuli kehadiran peguam Karpal Singh yang tiba lima minit kemudian.
“Sekarang tidak tahu keadaan lagi. Cara polis (menangkap Anwar) ganas, akan cuba menjamin beliau secepat mungkin,” kata Azizah kepada para pemberita.
Selepas keluar dari IPK, Dr. Wan Azizah meminta semua orang supaya bertenang.
“Saya kecewa kerana polis bertindak sedemikian. Ini tidak diperlukan, saya kesal kerana suami saya ditangkap.
“Kami sudah memberi jaminan bahawa Anwar akan datang sebelum pukul 2 petang,” katanya lagi.
Anak Anwar, Nurul Izzah memberitahu wartawan selepas memasuki bangunan IPK kira-kira 3.30 petang bahawa bapanya telah meminta ahli keluarga dan penyokongnya supaya berdoa.
Terdahulu Karpal pula memberitahu, setakat ini (sehingga pukul 2.30 petang) Anwar tidak ditahan, cuma dibawa untuk memberi keterangan kepada polis.
Sama ada ditahan ataupun sebaliknya hanya akan diketahui selepas keterangan diambil, kata Karpal.
Beberapa pemimpin parti pembangkang juga kelihatan berada di IPK sejak Anwar dibawa masuk.
Antara yang berada di ibu pejabat polis kontinjen itu ialah anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Sejak lewat petang tadi, jalan menuju ke Jalan Hang Tuah ditutup dari kedua-dua arah. Pasukan FRU turut mengawal di hadapan jalan menuju ke IPKKL.
* Kronologi pergerakan Anwar hari ini
* Anwar tidak dikasari ketika ditahan, kata Wan Ahmad Farid
* Bertenang dan jangan percaya khabar angin ada perhimpunan
* Perbahasan kecoh apabila cara penahanan Anwar dipersoal
* Syed Hamid: Kerajaan tidak campuri tangan selagi berlandaskan undang-undang
* Musa rujuk peguam kes saman Anwar
BERITA TERDAHULU
Beri keterangan: Anwar selesai di BPR, di IPK KL 2 petang
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan waran tangkap kerana tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang kelmarin, hadir di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung laporannya terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara 1 Julai lalu.
Beliau tiba di pekarangan Ibu Pejabat BPR pada pukul 10.05 pagi. Temu janji beliau dengan BPR ialah pukul 10.30 pagi.
Beliau meluangkan kira-kira dua jam untuk memberi keterangan dan akan hadir semula kelak.
Anwar keluar dari pejabat BPR kira-kira 12.10 tengah hari tadi.
Anwar minta proses memberi keterangan ditangguhkan kerana perlu hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pukul 2 petang ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat.
Katanya, “oleh kerana waran tangkap terhadap sudah dikeluarkan, saya perlu berada di IPK Kuala Lumpur di sana dengan segera.”
Ketika ditanya mungkin ditahan, Anwar memberitahu, beliau sedia jika ditahan dan BPR boleh mengambil keterangan di lokap.”
Anwar diiringi tiga peguamnya termasuk Sankara Nair.
BERITA TERDAHULU:
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang semalam untuk memberi keterangan berhubung isu liwat.
Malah Anwar juga telah dikategorikan sebagai suspek dalam kes liwat yang melibatkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, (gambar).
Perkara ini diumumkan oleh peguam Anwar, Sankara Nair pada sidang media kira-kira pukul 3:30 petang semalam di rumah Anwar di sini.
Ia merupakan sidang akhbar ketiga diadakan Sankara semalam.
Jika ditangkap, Anwar dijangka akan ditahan reman dan kemudiannya didakwa.
* Anwar menghadiri debat isu kenaikan harga minyak pada pukul 9 malam tadi
* Anwar hadir di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya pada pukul 10.30 pagi
* Anwar hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 2 petang
Sebelum sidang akhbar ketiga Sankara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin pula berkata, Anwar diberi tempoh sehingga pukul 2 petang ini untuk hadir di IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kes liwat.
Beliau memberi amaran jika arahan itu diingkari, polis akan mengambil tindakan undang-undang termasuk menahan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Ketika ditemui wartawan, Bakri berkata, tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap sesiapa yang cuba menghalang tugas polis daripada menahan Anwar nanti.
Semalam beliau berkata, pihaknya mempertimbangkan dua hingga tiga opsyen tindakan ke atas Anwar.
Anwar ketika ditemui wartawan selepas debat di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka malam tadi berkata, beliau sepatutnya hadir di IPK Kuala Lumpur esok tetapi polis telah mengubah masa dan tarikh secara tiba-tiba.
Bagaimanapun tegas Anwar, beliau tidak mahu insiden 1998 berulang di mana polis menahannya sebelum siasatan lengkap selesai.
Ketika ditanya sama ada Anwar boleh ditahan polis bila-bila masa dari sekarang (pukul 3.30 petang), Sankara berkata, polis mempunyai kuasa untuk berbuat demikian walaupun persetujuan telah dicapai bagi membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri menemui polis hari ini.
Sehingga pukul 11.30 malam tadi, menurut Sankara, tiada perkembangan lain (tangkapan) dan Anwar selesai menyertai debat.
Debat itu adalah anjuran Agendadaily mengenai kenaikan harga minyak di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Di bawah status sebagai suspek, Anwar boleh disiasat mengikut Sekyen 377 Kanun Keseksaan.
Dakwaan meliwat itu merupakan yang kedua dalam tempoh 10 tahun dihadapi Anwar.
Sepasukan lapan peguam telah dibentuk untuk membela Anwar jika beliau dihadapkan di mahkamah berhubung kes berkenaan, kata Sankara.
Bagaimanapun beliau enggan menamakan barisan peguam itu.
Pada dua sidang akhbar selang beberapa minit tengah hari semalam di pejabatnya di Mont Kiara dekat sini, Sankara memberitahu, Anwar akan menemui polis petang ini berdasarkan persetujuan terbaru yang dicapai kira-kira pukul 7.25 petang kelmarin.
Berdasarkan persetujuan itu Anwar telah menyatakan kesediaan untuk hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 10.30 pagi esok (Khamis ini).
Bagaimanapun Sankara menerima panggilan polis tengah hari semalam mengarahkan Anwar hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang ini.
Pada sidang media di kediaman Anwar petang semalam, Sankara memberitahu beliau menerima surat yang difakskan pada pukul 1.08 tengah hari semalam, yang ditandatangani Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, DSP Jude Pereira bahawa Anwar dikehendaki hadir di IPK Kuala Lumpur pada pukul 2 petang ini dan terus berjumpa pegawai penyiasat iaitu Pereira.
“Saya menerima surat daripada polis selepas mengadakan sidang akhbar tengah hari ini (semalam), saya telah diminta oleh DSP Jude pada pukul 7.10 petang semalam (kelmarin) untuk membawa anak guaman saya, Anwar pada 17 Julai iaitu Khamis ini.
“Bagaimanapun ketika saya mengadakan sidang akhbar saya menerima panggilan daripada polis, pegawai yang sama supaya membawa Anwar esok (hari ini), sehari lebih awal tanpa memberikan sebarang alasan bagi perubahan itu dan dalam surat difakskan, beliau mengatakan ada waran tangkap telah dikeluarkan,” katanya.
Kata Sankara, surat itu juga memaklumkan waran tangkap ke atas Anwar juga telah dikeluarkan.
Sankara menambah, bahasa yang digunakan dalam surat tersebut agak mengelirukan kerana ia bukan sahaja mengatakan Anwar diperlukan untuk membantu siasatan, malah waran tangkap ke atasnya juga telah dikeluarkan.
“Saya baru sahaja menghubungi Jude untuk mengesahkan sama ada anak guaman saya (Anwar) akan menjadi saksi atau apa. Jawapan beliau ialah beliau (Anwar) adalah suspek (dalam kes liwat).
“Dan saya bertanya lagi sama ada beliau boleh ditahan, beliau mengatakan bahawa beliau (Anwar) boleh ditangkap. Itu yang diperkatakan oleh beliau (Jude) dan saya tidak boleh berkata lebih daripada itu,” katanya dan menambah, pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Sankara mengulangi Anwar akan berada di IPK Kuala Lumpur petang ini.
“Anwar akan berada di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang esok, dan beliau juga akan memberikan kenyataan kepada Badan Pencegah Rasuah pukul 10.30 pagi esok (ini) berhubung laporan yang dibuat (di IPK Selangor pada 1 Julai lalu terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara),” katanya lagi.
BERITA TERDAHULU
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang semalam untuk memberi keterangan berhubung isu liwat akan menemui polis petang esok.
Perubahan waktu pertemuan beliau dengan polis berubah kali kedua dalam tempoh 12 jam hari ini.
Petang semalam polis dan Anwar telah bersetuju dengan tarikh baru iaitu Khamis, pukul 10.30 pagi selepas beliau tidak hadir di IPK KL.
Sebaik sahaja peguam Anwar, Sankara Nair selesai mengadakan sidang media bagi mengumumkan bahawa anak guamnya akan hadir di IPK KL pukul 10.30 pagi Khamis, beliau menerima panggilan daripada polis kira-kira 12.40 tengah hari tadi meminta bekas Timbalan Perdana Menteri mesti hadir petang esok.
“Ada sedikit perubahan, saya menerima masa dan tarikh baru iaitu esok pukul 2 petang. Polis mengatakan bahawa Anwar mesti datang esok,” kata beliau yang mengadakan sidang akhbar susulan di pejabatnya di Mont Kiara dekat sini.
Anwar dijadual mengadakan sidang media khas di rumahnya di Segambut pukul 3 petang ini.
Berdasarkan persetujuan awal antara polis dan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mahu berada di IPK KL pada Khamis kerana pagi esok beliau akan menemui Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Kita sekarang kena mengubah tarikh pertemuan dengan BPR. Anwar telah bersetuju untuk menemui polis petang esok,” katanya.
Kata Sankara, anak guamnya itu juga akan menghadiri debat mengenai kenaikan harga minyak di Menara Dewan Bahasa malam ini.
“Beliau akan hadir sebagaimana telah dijanjikan. Saya pun akan hadir,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Anwar boleh ditahan bila-bila masa menjelang 2 petang esok, Sankara tidak menolak sebarang kemungkinan sebab itu tertakluk kepada hak polis.
Bagaimanapun kata beliau, berdasarkan aturan lewat petang semalam Anwar dan polis telah mencapai kata sepakat dan persetujuan bagi membolehkan Anwar hadir di IPK KL.
Sehingga tengah hari ini polis tidak mengeluarkan notis arahan meminta Anwar berbuat demikian, katanya.
BERITA TERDAHULU
Anwar tidak temui polis semalam, esok muncul di BPR
PETALING JAYA: Ketika polis sedang mempertimbangkan langkah susulan untuk menemui Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang semalam untuk memberi keterangan berhubung isu liwat, esok bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menemui Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, anak guamnya itu akan berada di Ibu Pejabat BPR, Putrajaya untuk memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuat di IPK Selangor awal bulan ini.
Sankara menyatakan demikian dalam surat yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin semalam.
BPR akan menemui Anwar selepas lima hari Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberi keterangan kepada BPR berhubung laporan polis yang dibuat oleh beliau.
Pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan yang antara lain mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam pemalsuan keterangan membabitkan kes beliau dipukul pada 27 September 1998 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Ketika mengumumkan beberapa pilihan yang dipertimbangkan polis petang semalam, Bakri enggan mendedahkan pendekatan tersebut.
“Saya tidak akan memberitahu apakah pilihan yang kita ada tetapi ini merupakan satu proses perundangan Malaysia,” katanya.
“Anda fikir sendiri (pilihan),” kata beliau pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang semalam.
Menurut Bakri, Anwar telah dipanggil untuk direkodkan rakaman percakapannya di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah iaitu satu proses penyiasatan yang normal.
“Dalam proses penyiasatan kami, kami mengikuti proses perundangan yang sedia ada dan pemanggilan Anwar untuk merakamkan percakapannya (Sekyen 112) merupakan proses perundangan,” jelas beliau.
Bakri berkata, proses merakam percakapan merupakan satu peluang dan ruang yang diberikan oleh pihak polis kepada Anwar.
“Pihak polis telah memberi ruang yang secukupnya untuk Anwar memberi keterangan. Kami menunggu kira-kira 80 minit tetapi beliau tidak muncul sebagaimana yang telah dipersetujui Sabtu lalu,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Anwar telah bersetuju untuk datang ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung isu liwat membabitkan bekas pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada bulan lalu.
Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini iaitu dua hari sebelum laporan itu dibuat.
Selain itu, Bakri berkata laporan-laporan di internet yang mengatakan bahawa Anwar telah menghantar kenyataan kepadanya merupakan satu khabar angin.
“Sepanjang hari ini saya berada di balai polis Bukit Aman dan saya tidak menerima sebarang surat sejak 6 pagi tadi,” kata Bakri.
BERITA TERDAHULU
Anwar tidak muncul di IPK KL sehingga 2.30 petang
Oleh G. MANIMARAN dan LEE YAN XIU
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Sehingga pukul 2.30 petang tadi, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak muncul di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk membantu polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan meliwat, yang kedua dihadapinya dalam tempoh 10 tahun.
Hanya wartawan yang berkumpul di hadapan IPK Kuala Lumpur manakala polis dijangka mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 3.30 petang ini.
Kelmarin polis berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah bersetuju untuk menemui mereka bagi memberikan keterangan.
Anwar memutuskan untuk tidak hadir di IPK kerana arahan lengkap memintanya memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat belum dikeluarkan polis sehingga pagi ini.
Polis pula akan menunggu sehingga pukul 5 petang untuk memutuskan tindakan susulan ke atas Anwar.
Peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya memang ada perjanjian dengan polis untuk bekerjasama tetapi tiada arahan sempurna untuk tujuan siasatan.
“Kami menunggu arahan sempurna dan akan pergi menemui polis,” kata beliau.
Kelmarin polis memaklumkan bahawa Anwar telah bersetuju untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 2.30 petang untuk memberi keterangan berhubung isu meliwat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin ketika dihubungi pula memberitahu, Anwar sepatutnya datang menemui pihaknya pukul 2.30 petang.
“Kita akan menunggu kedatangan beliau. Jika tidak datang sehingga pukuk 5 petang, kita akan menentukan tindakan berikut,” katanya.
Dalam pada itu, maklumat yang diperoleh dari blog Anwar menyebut Ketua Umum Pakatan Rakyat itu telah menyatakan keputusan untuk tidak hadir kepada Bakri menerusi satu surat semalam.
Surat itu antara lain berbunyi, ” Kami telah diarahkan bahawa lebih kurang pada lewat pagi 12 Julai 2008 DSP DSP Jude Pereira dari pejabat tuan telah menghubungi peguam kami Encik S N Nair meminta anak guam kami Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menghadirkan dirinya ke IPK Kuala Lumpur pada 13 7 2008 (Ahad) untuk tujuan pengambilan keterangan.
“Peguam kami Encik S N Nair selepas berbincang dengan anakguam kami yang berada di Pulau Pinang telah memberitahu DSP Jude bahawa anak guam kami akan hadir pada 14 Julai 2008 pukul 2.00 petang di IPK Kuala Lumpur dan oleh itu suatu persefahaman baik telah dicapai oleh kedua-dua pihak seperti yang dipersetujui dari awal.
“Tetapi, kami telah dimaklumkan oleh DSP Jude lebih kurang jam 9.30 malam pada 12 Julai 2008 bahawa pihak polis telah pergi ke rumah anak guam kami di Segambut Dalam Kuala Lumpur dan telah cuba untuk menyerahkan suatu peintah di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah di bawah nama anak guam kami kepada salah seorang yang berada di rumah anak guam kami.
“Peguam kami Encik S N Nair membantah kepada DSP Jude bahawa ia adalah suatu serahan yang tidak teratur dan tiada keperlun untuk mengeluarkan perintah tersebut kerana anak guam kami telah akujanji untuk hadir seperti persefahaman baik yang telah dipersetujui di perenggan 3 di atas.
“Walaupun perkara di perenggan 5 di atas telah diberitahu kepada pihak polis, kami telah dimaklumkan sekali lagi oleh anak kepada anakguam kami bahawa lebih kurang pada tengah hari 13 Julai sepasukan pegawai polis telah pergi ke rumah anak guam kami di Segambut Dalam dan telah mengganggu dan telah menuntut keluarganya menerima penyerahan perintah tersebut walaupun telah diberitahu bahawa keluarganya tidak mempunai kuasa untuk menerima perintah tersebut kerana perintah tersebut telah dialamatkan secara kediri anakguam kami.
Sepasukan pihak polis tersebut juga telah enggan untuk meninggalkan rumah anak guam kami dan oleh itu telah menyebabkan keluarg anak guam kami berada di dalam ketakutan dan intimidasi yang mana secara keseluruhannya adalah tidak perlu.
“Berdasarkan kepada di atas, anak guam kami merasa terlalu kecewa dengan sikap tidak professional dan tindakan-tindakan intimidasi pihak polis walaupun telah mencapai persefahaman baik untuk bekerjasama sebelum ini.
“Anak guam kami sekarang ini ingin menyatakan bahawa kecuali pihak polis bertindak secara profesional dan mematuhi persefahaan baik tersebut dan undang-undang, anak guam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis.
” Walau apa pun, anak guam kami mengulangi kedudukan beliau bahawa anak guam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis sekiranya pihak plis tidak mengganggu beliau atau mengintimidasi keluarganya dan tidak memungkiri persefahaman baik tersebut.
“Kami selaku peguam bela anak guam kami akujanji akan mengemukakan anak guam kami sekiranya kesemua syarat di perenggan 9 di atas dipenuhi oleh pihak polis dan kami memohon agar suatu tarikh baru ditetapkan supaya anak guam kami boleh hadir ke IPK Kuala Lupur untuk memberi keterangan di bawah keadaan yang tidak membahayakan mana-mana pihak. Dalam keadaan intimidasi yang dilakukan oleh pihak polis seperti ini, anakguam kami tidak dapat menghadirkan ke IPK Kuala Lumpur pada 14 Julai 2008 sehingga keadaan intimidasi ini lenyap sama sekali.
“Anak guam kami ingin memaklumkan bahawa beliau pada hari Rabu 16 Julai 2008 (Rabu) akan hadir ke pejabat Agensi Anti Rasuah untuk memberi keterangan.
“Sekali lagi kami mengulangi bahawa anak guam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis tetapi tidak di dalam keadaa adanya intimidasi dan gangguan dari pihak polis.”
# Anwar tidak dikasari ketika ditahan, kata Wan Ahmad Farid
# Syed Hamid: Kerajaan tidak campuri tangan selagi berlandaskan undang-undang
# Anwar diberi tempoh hingga 2 petang esok
# Khaled: Anwar perlu tampil beri keterangan
# Syed Hamid: Anwar tidak berhak diberi layanan istimewa
Musa Hassan saman Anwar?
#
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan menfailkan saman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memanipulasikan maklumat yang boleh mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Polis Negara.
“Saya akan memfailkan saman terhadap dia (Anwar) melalui peguam saya, Kamarul Hishamaad dan Hasnol Rezua.
“Itu adalah hak saya sama ada nak saman dia (Anwar) atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang memetik ’sumber’ bahawa Musa memberi kata dua kepada Anwar sama ada beliau memohon maaf dalam tempoh 40 jam atau berdepan dengan saman berjumlah RM5 juta.
Menurut laporan akhbar itu lagi, Musa turut menyerahkan surat peguam bertarikh 11 Julai 2008 yang menafikan beliau telah menyebabkan kecederaan pada mata Anwar ketika beliau menjadi pegawai penyiasat dakwaan kes liwat Anwar pada tahun 1998.
Ditanya sama ada beliau ada menerima jawapan permohonan maaf secara lisan atau bertulis daripada Anwar, beliau berkata: “Saya tidak menerima apaapa maklumat daripada peguam saya berhubung perkara ini.”
Musa berkata segala halhal berkaitan kes berkenaan telah diserahkan kepada peguamnya.
Pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung dakwaan pemalsuan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lepas.
Laporan polis itu turut mengaitkan Musa, yang ketika itu pegawai penyiasat kes terbabit, dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang pada masa itu Timbalan Pendakwa Raya Kanan. BERNAMA
BERITA TERDAHULU:
Anwar disiasat, forum debat drama ‘panas’ baru minggu depan?
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Selepas 10 hari pertama bulan ini yang penuh dramatik, orang ramai khususnya peminat-peminat politik bakal dihidangkan dengan drama-drama baru yang lebih panas minggu depan ataupun sepanjang baki dua minggu akan datang?
Negara telah dihidangkan dengan urutan perkembangan politik yang menarik, mengecewakan, dramatis dan pahit sejak 8 Mac lalu - sejak hari pengundian pilihan raya umum ke-12.
Selepas 100 hari pertama pascapilihan raya umum, pada 10 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang beliau akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Dengan itu tarikh pelan peralihan kuasa telah ditetapkan. Menjelang Jun 2010, Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam jika tiada sebarang halangan.
Petang esok, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan tuduhan terbaru kes liwat akan disiasat polis. Sudah tentu perkembangan itu dinantikan ramai dengan penuh minat dan debaran.
Ia juga bakal menentukan masa depan kerjaya politik beliau, yang seolah-olah mendapat nafas baru selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu dengan dilantik sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat. Pembangkang melabelkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri.
Justeru, negara mempunyai dua bakal Perdana Menteri - Najib dan Anwar.
Kedua-dua mereka menjadi tumpuan dalam isu ‘perang akuan bersumpah’ - yang dikeluarkan oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, yang menjadi misteri setelah hilang sejak lebih seminggu, berhubung isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Pada hari Abdullah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kuasa dan ketika Majlis Tertinggi Umno membincangkan pendirian Abdullah itu, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, mengemukakan notis usul tidak percaya terhadap Abdullah.
Ketika ramai menganggap bahawa usul itu yang tiada kesan pengundian akan menguji populariti Abdullah, ia juga bakal menjadi ukuran populariti Dr. Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang dan Pakatan Rakyat pada umumnya.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan memutuskan sama ada ia perlu diluluskan untuk perbahasan ataupun sebaliknya.
Dr Wan Azizah berkata, usul itu dikemukakan ekoran langkah kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini sungguhpun sebelum pilihan raya umum ke-12 kerajaan telah berjanji untuk tidak menaikkan harga bahan api itu.
Polis pula telah mempertingkatkan kawalan keselamatan di Lembah Klang khususnya di kawasan sekitar bangunan Parlimen ekoran desas-desus bahawa akan diadakan demonstrasi berhubung kenaikan harga minyak esok.
Seperti dulu, polis mendapatkan perintah larangan berhimpun dengan menamakan Anwar dan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun Anwar menafikan beliau terlibat menganjurkan perhimpunan seumpama itu esok.
Dalam pada itu, isu Balasubramaniam yang berada di sebuah negara selepas dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu masih mendapat perhatian.
Yang terbaru rumahnya di Rawang, Selangor dilaporkan sudah dipecah masuk oleh pihak tertentu.
Justeru, adakah beliau akan kembali ke tanah air untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Sehari selepas Abdullah mengumumkan pelan peralihan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar.
Pada 1 Julai lalu, Anwar membuat laporan yang antara lain mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam pemalsuan keterangan membabitkan kes beliau dipukul pada 27 September 1998 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Pada 9 Julai lalu, Anwar yang enggan menyahut cabaran bekas pembantu khasnya supaya melakukan sumpah mubahalah berhubung tuduhan liwat terhadapnya, hari ini mengadu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bahawa beliau telah difitnah oleh bekas pekerjanya itu.
Kata Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, beliau membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasaan JAWI supaya menyiasat tuduhan tersebut mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.
Bekas pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan, 23, telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers di sini pada 28 Jun lepas bahawa beliau diliwat oleh majikannya dan dilaporkan sanggup melakukan sumpah mubahalah berhubung tuduhan tersebut.
Di sebalik perkembangan itu. Anwar akan berdepan dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Selasa ini dalam forum berdebat isu kenaikan harga minya. Anwar mahu memberi petua menurunkan harga minyak.
Apakah ia boleh dilakukan? Anwar mampu berbuat demikian dalam forum yang akan disiarkan secara langsung.
Ia dianjurkan oleh laman web berita Agendadaily dan akan disiarkan secara langsung.
Ketua Pengarang Agendadaily, Rosli Ismail berkata, forum berdebat hanya akan membincangkan isu harga minyak semata-mata dan kedua-dua pemidato tidak dibenarkan menyentuh isu politik semasa.
Nampaknya kita mempunyai banyak lagi isu menarik untuk diikuti. Negara tidak kehausan isu kali ini.
Article source:







