SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, berada di Malaysia pada hari wanita Mongolia itu dibunuh.
Pegawai penyiasat, ASP Tonny Lunggan berkata Azilah diberi tugasan mengiringi orang kenamaan (VIP) ke Hong Kong pada 19 Okt 2006 dan akan berlepas keesokannya tetapi kirakira pukul 5.30 petang hari yang sama, tugasan itu dibatalkan dan Azilah diarah melakukan tugasan rasmi di Putrajaya pada sebelah malamnya.
Tonny, 29, bagaimanapun berkata beliau tidak membuat siasatan sama ada Azilah ada membuat taklimat kepada anggotanya di Bukit Aman pada hari itu dan tiada seorang pun daripada mereka disoal siasat mengenainya.
Beliau juga tidak menjalankan siasatan mengenai kaedah bagaimana senjata diserahkan dan penghantaran senjata untuk anggota yang bertugas sebagai pengiring di luar negara.
Tonny memberitahu mahkamah bahawa cara siasatannya lebih menjurus untuk mendakwa Azilah di mahkamah dan mengakui ada di antara beberapa perkara yang langsung tidak disiasat.
Ditanya peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah adakah beliau menyiasat pergerakan pistol jenis Glock EAH 387 milik Azilah sama ada disimpan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) atau sebaliknya, Tonny berkata: “Pasal pistol Glock ini saya tidak siasat sangat sebab saya tidak berminat.”
Saksi ke75 pendakwaan itu berkata sama ada senjata jenis itu tersimpan dalam peti besi di pejabat UTK atau tidak, beliau tidak akan mengetahuinya kerana beliau hanya menyiasat pergerakan Azilah, bukan pistol.
Kuldeep kemudian merujuk kepada catatan transaksi panggilan telefon bimbit, Azilah yang menunjukkan dia menghubungi seorang petugas di Bukit Aman, Sarjan Ramli Haron.
Beliau mendakwa panggilan itu dibuat Azilah bagi meminta Ramli menyimpan pistol jenis Glock itu di dalam peti besi unit kawalan UTK.
“Saya hanya tahu Azilah membuat panggilan kepada Ramli tetapi tidak mengetahui sama ada Azilah berada di Bukit Aman atau tidak pada waktu itu,” katanya.
Perbicaraan hari ke111 hari ini melibatkan Azilah, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37, keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas, yang dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya di satu kawasan di Bukit Raja dekat sini.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula dituduh bersubahat dengan mereka.
Terdahulu Tonny mengakui beliau hanya menyiasat buku daftar jenis senjata ‘rifle’ seperti pump gun dan MP5 dan tidak menyiasat buku daftar bagi kategori senjata jenis pistol seperti Glock.
Katanya menerusi buku daftar jenis ‘rifle‘ itu didapati Azilah telah mengambil 10 laras senjata MP5 pada 24 Ogos 2006 dan dipulangkan semula tiga hari selepas itu.
Tonny juga memberitahu mahkamah terdapat beberapa nombor talian di dalam trasaksi panggilan Azilah juga tidak disiasat dan tidak diketahui siapa pemiliknya.
Katanya walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak disiasat, beliau tetap menyiasat mengenai permohonan alibi oleh pihak pembelaan terhadap Azilah.
Sementara itu ketika disoal peguam Datuk Hazman Ahmad yang juga mewakili Azilah adakah tindakan Azilah yang turut membawa Lans Kopral Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ke rumah Abdul Razak ketika kehadiran Altantuya di situ adalah mengikut peruntukan sebagai anggota polis, Tonny berkata:
“Saya tidak setuju dan kejadian pada malam itu adalah tidak bersesuaian.”
“Rumah Abdul Razak adalah di kawasan Brickfields dan dalam bidang kuasa Balai Polis Travers sepatutnya mereka menghubungi Balai Polis Travers dan tangkapan perlu dibawa ke balai terdekat. Keduadua mereka juga dari cawangan berbeza,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok. BERNAMA
Article source:
Popularity: 16% [?]






