Tag Archive | "Muqabalah alternatif PAS tolak muzakarah"

Muqabalah alternatif PAS tolak muzakarah, pendirian MT Umno petang ini?

Tags: ,


pas_umno cakap-cakap

NIK Abdul Aziz Nik Mat (tengah) dikerumuni wartawan selepas menghadiri mesyuarat tertutup pemimpin tertinggi parti itu di sini, hari ini. Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din (kiri), Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (belakang) dan timbalannya Nasharudin Mat Isa (dua, kiri). - fotoBERNAMA

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Empat hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan membabitkan beliau dan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PAS petang ini sebulat suara menolak muzakarah antara Umno-PAS.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang bertemu di Kelantan petang ini mengesyorkan diadakan muqabalah sahaja - pertemuan bersemuka.

Perkembangan ini menandakan PAS menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.

Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat petang ini (Khamis) dijangka turut membincangkan isu berkenaan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi tidak memberikan butiran agenda mesyuarat petang ini.

Sambil menegaskan PAS sememangnya berminat untuk mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan pemimpin Umno bagi membincangkan mengenai masa depan umat Islam, pemimpin-pemimpin parti itu berkata, perbincangan yang disyorkan perlu diadakan secara bersemuka berbentuk “muqabalah” dan bukannya dalam bentuk perdebatan yang dinamakan muzakarah seperti diminta oleh Umno.

Justeru, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekarang beliau menutup fail berhubung syor “muzakarah” tetapi membuka konsep “muqabalah”.

“Apa yang saya dimaklumkan ialah pertemuan-pertemuan (sebelum ini) dengan Umno hanya diadakan atas dasar peribadi. Kesemua itu adalah benar dan ia dilakukan untuk memperkukuhkan Islam,” kata beliau kepada pemberita

Kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan kira-kira tiga jam di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Bharu.

“Saya mahukan muzakarah itu ditukarkan kepada muqabalah dalam membincangkan isu berkaitan umat Islam kerana ianya lebih sesuai,” kata Nik Abdul Aziz.

Pertemuan itu diadakan tiga hari selepas beliau menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pertemuan bersifat muzakarah antara pemimpin Umno-PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa turut hadir pada mesyuarat itu.

Nasharudin merupakan antara tiga pemimpin yang telah menemui Abdullah dalam tiga pertemuan lalu.

Abdul Hadi mengetuai rombongan empat wakil Majlis Syura menemui Nik Abdul Aziz bagi menerangkan isu muzakarah dan tiga pertemuan yang telah diadakan dengan Umno.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz melahirkan pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.

Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.

“Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti “kera sumbang” dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Abdullah berkata, bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu pertemuan PAS dan Umno akan membawa kepada penggabungan kedua-dua parti kerana pertemuan itu lebih berbentuk kerjasama demi satu matlamat dan turut menafikan isu muzakarah itu telah memecahbelahkan kepimpinan PAS.

Abdul Hadi yang dipetik Bernama pula berkata, muzakarah yang dinamakan oleh Umno lebih kepada bentuk perdebatan sedangkan apa yang dimahukan oleh Umno adalah muqabalah iaitu perbincangan untuk selesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan Umno berdasarkan satu matlamat iaitu membincangkan masa depan Umat Islam di negara ini.

Kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan agama bagi PAS untuk mengadakan perbincangan itu kerana PAS sememangnya parti yang memperjuangkan Islam demi kepentingan orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Hadi menafikan bahawa pertemuan itu akan menyebabkan PAS menyertai Umno kerana PAS mampu memenuhi kehendak politik rakyat berdasarkan sokongan rakyat yang dicerminkan dalam pilihan raya umum lepas.

“Walaupun berbeza pendirian politik ia tidak akan menjadi halangan untuk PAS dan Umno duduk berbincang,” katanya.

Jelas beliau, pertemuan untuk mengadakan perbincangan secara muqabalah itu telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat sejak April lalu.

Abdul Hadi turut menafikan pertemuan tiga pemimpin PAS sebelum ini dengan Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan atas arahan beliau.

“Tiga pertemuan itu dilakukan atas usaha Presiden Umno dan bukan Presiden PAS,” katanya.

BERITA TERDAHULU:

Pemuda PAS tolak muzakarah politik dengan Umno

Pemuda PAS menyokong muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, khususnya perjuangan Islam, tetapi menolak sebarang bentuk kerjasama politik kecuali Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pergerakan itu menentang sebarang usaha jika muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokus kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Kata beliau, Dewan Pemuda PAS akan terus komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin sejak pilihan raya umum yang lalu.

Salahuddin yang dipetik Harakah Daily hari ini, selepas mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat di ibu negara malam tadi berkata, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah-belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.

Jelas beliau, jika muzakarah antara PAS dan Umno menjadi kenyataan, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan BN.

“Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.

“Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran.

“Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,” tegasnya.

Menurut Salahuddin, sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik.

Laporan Bernama menyebut agenda muzakarah selepas ini belum dikemukakan oleh Umno kepada PAS.

“Itu terpulang kepada Umno kerana mereka yang mencadangkan muzakarah itu. Pemuda (PAs) akan teliti jika agenda itu relevan atau tidak.

“Kita tidak akan bersetuju untuk adakan muzakarah itu jika jelas agendanya menjurus kepada perkongsian kuasa atau agenda politik,” katanya Ketua Pemuda PAS dipetik Bernama.

Beliau berkata adalah lebih wajar jika keduadua parti berbincang sebagai dua entiti berbeza sekiranya muzakarah mahu diadakan atas dasar perpaduan.

“Walaupun berbincang soal perpaduan Melayu, tidak perlulah PAS dan Umno untuk duduk sebumbung sebab kalau PAS dan Umno duduk sebagai entiti yang sama, rakyat tidak lagi akan yakin dengan perjuangan PAS dan mungkin juga mereka akan mentafsirkan kepimpinan PAS mahukan jawatan,” katanya.

BERITA TERDAHULU:

Penganalisis: Ideologi, persepsi hadang muzakarah Umno-PAS berjaya

PETALING JAYA: Sejauh mana muzakarah Umno-PAS yang menjadi fokus perbincangan arena politik tanah air sejak kebelakangan ini akan menjadi kenyataan ataupun berjaya?

Mengupas isu ini, pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang dan Pentadbiran Awam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berpendapat kejayaan muzarahah Umno-PAS banyak bergantung pada persepsi masing-masing parti.

Kata beliau, jika dilihat dari sudut politik, pasti Umno atau PAS akan mendakwa salah satu daripada parti berkenaan akan cuba mendominasi satu sama lain.

“Saya rasa kepimpinan PAS takut Umno cuba mendominasi mereka kerana itu ada yang menentang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Musyidul Am, PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin yang mahu sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno dihentikan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti yang memperjuangkan Islam selama ini.

Pandangan yang sama diutarakan oleh Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor kepada mStar Online semalam.

Sebahagian pemimpin PAS mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan parti itu.

Ahmad turut menjelaskan  muzakarah yang disyorkan perlu dilihat kepada matlamat yang ingin dicapai dan semua pihak seharusnya tidak mempolitikkan isu tersebut.

“Jika kita lihat kepada matlamat muzakrah ini saya pasti muzakarah PAS-Umno akan berjaya mencapai matlamatnya, dengan syarat kita tidak mempolitikkan isu tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Jelasnya, muzakarah antara PAS-Umno ini pernah dilaksanakan pada 2000 ketika kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, jelas beliau, ia tidak berjaya kerana kedudukan Umno yang kukuh sementara tiada desakan pelbagai pihak ke arahnya.

Menurut beliau, keadaan sudah berubah ketika pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ini.

“Pak Lah cuba melaksanakan apa yang tidak dicapai ketika era Mahathir. Keadaan hari ini, PAS dan Umno boleh duduk semeja mebincangkan hal-hal berkaitan agama Islam dan orang Melayu.

“Saya dapat merasakan ini satu perkembangan yang baik dan saya lihat muzakarah akan membantu membela nasib dan kepentingan agama Islam dan orang Melayu secara khususnya,” katanya.

Beliau menyifatkan pertemuan ini sebagai satu usaha yang akan memberi kebaikan yang akan menyatupadukan orang Islam sekali gus memelihara kepentingan orang Melayu di negara ini.

Tambah beliau, polisi sesebuah parti politik turut mempengaruhi hala tuju dan proses muzakarah yang berlangsung.

Menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang liberal dan tidak memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam secara khusus.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malayisa,  Dr. Admad Nidzammuddin Sulaiman berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata, muzakarah PAS-Umno ibarat ada udang di sebalik batu.

Kenyataan berbaur prejudis itu dilemparkan kerana beliau secara peribadi tidak menyakini pertemuan muzakarah yang sudah berlangsung sebanyak tiga kali.

“Saya agak ragu-ragu dengan muzarakah antara PAS dengan Umno. Saya berpendapat ideologi politik yang berbeza menyukarkan kejayaan muzakarah tersebut,” katanya.

Jelasnya, beliau menyokong tindakan Nik Aziz meminta pemimpin PAS menghentikan segera muzakarah tersebut kerana bimbang berlakunya perpecahan dalam parti itu sendiri.

“Saya lihat Umno punya agenda tersendiri dengan rencana muzakrah ini. Ia seperti mahu memperkuatkan parti itu kembali setelah kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, Umno mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk mengajak PAS bersatu dengan Umno. Namun mengapa ia tidak berlaku ketika Umno berada dalam keadaan stabil?.

Menurutnya, ada pemimpin PAS yang menerima peluang bermuzakarah ini lebih kepada persepsi mahu menyatupadukan umat Islam dan memelihara kepentingan Melayu  di negara ini.

Jelas beliau, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan selain bermuzakarah. Antaranya adalah, melalui agensi kerajaan sedia ada seperti MARA, Risda, Felda dan lain-lain.

“Malah undang-undang dan perlembagaan negara kita turut memelihara nasib dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia,” katanya.

BERITA TERDAHULU:

Muzakarah: Alasan pemimpin PAS tidak sepakat, gimik Umno?

KUALA LUMPUR: Khalid Abdul Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, salah seorang daripada tiga pemimpin yang mengambil bahagian dalam pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam proses muzakarah kedua-dua parti itu, tidak mahu dialog seumpama diteruskan dan perlu dihentikan segera.

“Dari segi muzakarah ini tidak perlu diteruskan. PAS hendak berbincang soal Melayu dan Islam tetapi Umno hanya mahu selamatkan kedudukan mereka,” kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi petang ini.

Beliau turut mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.

Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam turut mendedahkan apa yang berlaku dalam pertemuan pertama yang berlangsung sejurus selepas pilihan raya ke-12 pada 8 Mac lalu.

“Saya tidak ingat tarikh yang pasti pertemuan pertama berlangsung sejurus selepas pilihan raya berakhir,” katanya kepada mStar Online.

Beliau antara tiga pemimpin PAS selain Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali yang terlibat dalam muzakarah yang didedahkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Kenyataan Khalid itu dilihat senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Tegas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan dengan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti.

Nik Aziz menyatakan demikian sehari selepas Abdullah, yang juga Perdana Menteri mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan dengan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik pertemuan itu.

Dalam pertemuan tersebut, menurut Khalid, selain beliau, PAS diwakili Nasharudin dan Mustafa.

Umno pula diwakili oleh Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohammad Khir juga mendedahkan formula dan isu perbincangan dalam pertemuan tersebut menerusi blognya.

Khalid menjelaskan, pertemuan pertama itu telah membincangkan mengenai masalah di Selangor.

Kata beliau, secara asanya perbincangan tertumpu kepada DAP yang berjaya memiliki banyak kerusi di Selangor.

“Pak Lah ada melahirkan kebimbangan mengenai DAP yang berjaya memperoleh banyak kerusi di Selangor. Mereka bimbang akan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di sana terancam,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut Khalid berkata, PAS telah ditawarkan “gula-gula politik” jika bersedia bersama dengan Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka menawarkan kami (PAS) jawatan Menteri Besar jika mahu bersama dengan Barisan Nasional. Kami tidak memberi keputusan, sebaliknya hanya berkata akan memikirkan mengenainya,” katanya.

Menurut beliau, PAS berbuat demikian kerana bimbang Umno akan menggagalkan usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat melantik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“PAS hanya bersetuju secara teknikal, sedangkan pada masa yang sama kami telah bersetuju untuk bersama PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Khalid menegaskan, PAS berbuat demikian kerana yakin Umno pasti akan berusaha untuk menggagalkan usaha PKR melantik Khalid menjadi Menteri Besar.

Ditanya mengenai pertemuan kedua, beliau memberitahu, beliau hanya terlibat dalam pertemuan pertama.

“Apa yang saya tahu pertemuan kedua berlangsung di Parlimen antara Perdana Menteri dan PAS hanya diwakili oleh Nasharudin seorang. Apa yang dibincangkan saya tidak pasti,” ujar Khalid.

Ketika ditanya bukankah idea untuk mengadakan muzakarah ini ditimbulkan oleh Presiden PAS sendiri, Khalid berkata:

“Sebenarnya, beliau (Hadi) seorang yang jujur dalam perjuangan untuk membela nasib agama Islam dan orang Melayu di negara ini, sebab itu beliau mahu bermuzakarah dengan Umno,” katanya.

Khalid turut menafikan tersebut  perbezaan pendapat antara Nik Aziz dan Abdul Hadi mengenai muzakarah.

Menurut beliau, perbezaan tersebut hanya bersifat luaran dan aspek fundamental masih sama.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju PAS tidak perlu berkongsi kuasa dengan Umno.

Tambahnya, beliau menyokong tindakan Mursyidul Am PAS yang sememangnya menolak sebarang usaha sama dengan Umno kerana bimbang wujudnya perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri mendedahkan kepada media mengenai tiga pertemuan muzakarah dengan PAS baru-baru ini telah pun mengesahkan apa yang diperkatakan oleh Mursyidul Am PAS.

Khalid juga melihat Umno hanya menggunakan peluang muzakarah itu sebagai satu tindakan orang yang terdesak dan hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin lemah.

Tambah beliau, pertemuan pertama yang berlangsung kira-kira satu setengah jam tidak menemui kata sepakat mengenai isu yang sepatutnya diketengahkan.

Article source:

mSTAR Online

Site Sponsors

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Your Ads Here

Add to Technorati Favorites

Calendar

January 2009
M T W T F S S
« Dec    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Archives

Voice of Malaysian

↑ Grab this Headline Animator