
MUHAMMAD Muhd. Taib (dua dari kiri, depan) mengumumkan pendirian beliau untuk bertanding semula kerusi Naib Presiden di Shah Alam pagi tadi. - foto The Star oleh RICKY LAI
(Dikemas kini) SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menawarkan diri untuk kembali merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan Disember ini.
Pendirian beliau diumumkan di sini pagi ini dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor.
Muhammad, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor pernah memenangi kerusi itu pada 1993.
“Saya ingin memperkasakan parti untuk berdepan dengan cabaran baru khasnya membantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak memulihkan kekuatan Umno menjadi saluran perdana perjuangan orang Melayu,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Muhammad, Umno memerlukan pasukan kerja yang ikhlas berjuang untuk kepentingan parti dan masa depan orang Melayu khususnya untuk menambahbaik kehidupan orang Melayu di luar bandar dan penyusunan semula masyarakat untuk mengeluarkan orang Melayu daripada kemiskinan.
Beliau berkata, tugas kepimpinan Umno pada hari ini adalah memperkukuhkan perpaduan Melayu di setiap peringkat, memastikan ekonomi dan politik Melayu kembali kuat, serta mengembalikan Umno sebagai tunjang perjuangan rakyat Malaysia.
Muhammad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menyertai 15 lagi pemimpin Umno yang setakat ini menyatakan hasrat bertanding jawatan itu.
Pengumuman itu menyusul kenyataan Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad semalam bahawa beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden Disember ini.
Beberapa pemimpin UMNO telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Shafie Apdal serta penyandang Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Selain itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga melahirkan hasrat itu.
Mungkin turun gelanggang Naib Presiden ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini merupakan Ketua Pemuda Umno.
Seorang lagi penyandang jawatan Naib Presiden ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Umno Bahagian Tuaran turut membuat keputusan untuk mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman untuk bertanding jawatan Naib Presiden.
Shafie pula berkata, tindakannya menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini tidak bermaksud beliau akan menjadi calon tunggal dari Sabah bagi jawatan itu.
Katanya semua pemimpin Umno Sabah daripada pelbagai peringkat boleh menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu kerana tiada sekatan untuk berbuat demikian.
Article source:







