(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad “mengaku bersalah kerana” memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah “ahli-ahli Umno sendiri.”
“Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri,” katanya.
“Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka “Mr Clean” tidak begitu clean,” kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.
Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: “Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama.”
Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.
Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
Kata Dr. Mahathir, beliau hanya akan kembali ke Umno jika Abdullah bukan lagi Presiden Umno.
Pada 10 Julai lalu, Abdullah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kepimpinan kerajaan dan parti membabitkan beliau dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang Jun 2010.
Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.
“Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.
“Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.
“Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri,” katanya lagi.
Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.
Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata “awak yang lantik dia”.
“Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.
“Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah,” katanya.
Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu “saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya.”
“Saya rela dihukum jika saya salah,” kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.
“Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.
“Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir,” katanya.
Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.
“Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah,” katanya.
Dalam pada itu di Kuala Terengganu mlam tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berharap proses peralihan kuasa pada 2010 nanti akan berjalan lancar, dengan pentadbiran baru negara mendapat sokongan semua pihak, termasuk pemimpin baru dan lama.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya Umno tidak disokong oleh pemimpin baru dan lama, parti itu akan rebah.
Beliau berkata sokongan semua pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno, adalah penting selepas peralihan berlaku supaya beliau dapat memimpin negara dengan baik dan meneruskan agenda untuk pembangunan rakyat.
“Saya harap Pak Lah akan sokong saya apabila (beliau) tidak ada jawatan nanti, saya harap Pak Lah dan penyokong-penyokongnya menyokong kepimpinan baru apabila sampai masanya,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan perasmian Perhimpunan Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia di Hotel Primula.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno seterusnya berkata, beliau berharap Dr. Mahathir yang keluar daripada Umno juga akan kembali menyertai parti itu apabila kepimpinan negara bertukar nanti.
“Saya mahukan siapa yang jauh hati, bawa hati, dan makan hati, kembali semula dalam lipatan keluarga Umno untuk meneruskan perjuangan. Kalau ini jadi kenyataan, gabungan (pemimpin) baru dan lama bersama dalam satu keluarga, Ummo akan bertambah kukuh dan kuat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang,” kata beliau dipetik Bernama
Beliau berkata Umno dan BN sebenarnya tidak membuat silap dalam membangunkan negara, tetapi pemimpin perlu bermuhasabah diri dan memahami aspirasi rakyat supaya terus mendapat sokongan pada pilihan raya umum akan datang.
Najib berkata pemimpin Umno juga perlu menyesuaikan diri dan menampilkan imej yang disenangi rakyat kerana jika sebaliknya, pilihan raya akan datang bakal menjadi muka surat terakhir dalam buku riwayat perjuangan parti itu.
“Pemimpin Umno perlu mengikis persepsi rakyat bahawa parti ini sebuah parti cari makan, dan mereka perlu kembali kepada perkara asas perjuangan iaitu mengutamakan keikhlasan. Kalau tunjuk imej ini, rakyat akan sokong,” katanya.
Article source:







