[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan membuat kenyataan mengenai pendiriannya sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya hari ini.
“Saya tiada pengumuman untuk hari ini,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan BioMalaysia 2008 di Dewan Persidangan 13, Tingkat 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengesahkan Majlis Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.
“Mesyuarat itu akan diadakan pada 3.30 petang esok,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya sama ada hari ataupun esok.
Malah, semalam Abdullah mengesahkan yang beliau akan menemui pemimpin-pemimpin BN di ibu negara esok.
“Tunggulah dalam masa yang tak lama lagi, Saya akan buat keputusan esok atau Rabu”, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Pada 26 Oktober lalu Presiden Umno itu berkata beliau akan mengumumkan mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatannya itu sebelum 9 Oktober iaitu sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian.
Pada 1 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata beliau akan memberi penjelasan kepada ketua parti komponen BN mengenai pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mengulas mengenai ramai pemimpin Umno yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata:
“Itu pilihan mereka sama ada mereka mahu mengumumkannya awal atau mahu menunggu.Itu terpulang sepenuhnya kepada mereka.”
“Kamu tunggu… selepas beberapa ketika, sebahagian daripada mereka akan berundur dan yang tinggal nanti hanya dua atau mungkin seorang,” katanya.
Ditanya mengenai perkara yang akan difokuskannya sementara masih bergelar Perdana Menteri, Abdullah berkata, beliau mahu menunaikan janjinya kepada rakyat.
Article source:






