PETALING JAYA: Raja Petra Kamarudin yang ditahan pada 12 September di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting, Taiping untuk tahanan selama dua tahun.
Arahan tahanan dikeluarkan malam tadi, kata peguam-peguamnya pagi tadi.
Ia disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
“Sah, kerana dia mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui penulisan dan blognya dengan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad,” kata beliau ketika dihubungi mStar Onlinesebentar tadi.
Permohonan habeas corpus bagi pembebasan Raja Petra didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Raja Petra, pengendali blog Malaysia Today memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 16 September lalu agar beliau dibebaskan daripada ditahan mengikut ISA.
Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA.
Beliau pertama kali ditahan pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kamunting.
Raja Petra merupakan antara tiga orang yang ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu.
Dua yang lain ialah Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh dan pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Kedua-dua mereka telah pun dibebaskan.
Article source:







